Syarikat solar Bumiputera perlu beri perhatian keperluan kritikal

Syarikat solar Bumiputera perlu beri perhatian keperluan kritikal

PUTRAJAYA: Syarikat-syarikat solar Bumiputera juga diminta memberikan perhatian ke atas keperluan kritikal di peringkat penilaian projek, meliputi aspek keupayaan teknikal, kekuatan kewangan, kesesuaian tapak projek serta pematuhan kepada keperluan kelulusan pihak berkuasa.

Ia dibangkitkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada sesi libat urus Sesi Libat Urus (SLU) Strategik Bersama Syarikat Solar Bumiputera semalam.

PETRA dalam satu kenyataan memberitahu, sesi itu sebagai sebahagian daripada agenda strategik untuk memperkukuh penyertaan pemain tempatan dalam pembangunan industri tenaga boleh baharu (TBB), khususnya melalui program Large Scale Solar (LSS) dan Battery Energy Storage System (BESS).

Sesi itu telah dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof dengan lebih daripada 100 peserta telah menghadiri sesi ini yang mewakili sekitar 50 syarikat solar bumiputera.

Penganjuran sesi ini adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan, buah fikiran dan cadangan berhubung industri solar, terutamanya melibatkan syarikat Bumiputera, sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) untuk memperluas peluang ekonomi Bumiputera dalam sektor peralihan tenaga.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, program LSS telah berkembang secara progresif daripada projek berskala kecil kepada kapasiti berskala besar, dengan jumlah kapasiti mencecah lebih 6,000 MW melalui enam pusingan pelaksanaan.

Syarikat solar Bumiputera perlu beri perhatian keperluan kritikal
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng ketika mengambil bahagian pada sesi soal jawab dalam Sesi Libat Urus (SLU) Strategik Bersama Syarikat Solar Bumiputera di Putrajaya semalam.

Ini termasuklah peruntukkan kuota khas untuk syarikat SME dan Bumiputera semasa program Large Scale Solar pusingan ke-5 (LSS-5).

Sesi libat urus semalam dimulakan dengan taklimat daripada Suruhanjaya Tenaga yang menekankan bahawa pelaksanaan program LSS dan BESS adalah berteraskan empat prinsip utama, iaitu memastikan kestabilan grid, menawarkan kos yang paling kompetitif kepada pengguna, menjamin kebolehlaksanaan projek yang tinggi, serta membangunkan ekosistem industri tempatan termasuk penyertaan Bumiputera.

Syarikat-syarikat solar Bumiputera juga diminta untuk memberikan perhatian ke atas keperluan kritikal di peringkat penilaian projek, meliputi aspek keupayaan teknikal, kekuatan kewangan, kesesuaian tapak projek serta pematuhan kepada keperluan kelulusan pihak berkuasa.

Sesi libat urus ini diteruskan dengan sesi soal jawab di antara PETRA dan agensi-agensi dibawahnya bersama peserta-peserta dari syarikat Bumiputera.

PETRA mengambil maklum secara serius isu-isu yang dibangkitkan oleh pemain industri Bumiputera, termasuk kekangan pembiayaan, keperluan pengalaman, struktur tarif dan caj, mekanisme pasaran yang lebih kompetitif dan cadangan program-program TBB yang boleh diketengahkan.

Selain bertujuan untuk mendapatkan pandangan, sesi ini diharap akan dapat mewujudkan sinergi sesama syarikat-syarikat solar Bumiputera untuk bergabung tenaga bagi membangunkan projek-projek solar berskala lebih besar dan sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan Bumiputera.

PETRA juga berharap sesi ini menjadi pencetus kepada penyertaan orang ramai dikalangan Bumiputera dalam pekerjaan berkemahiran tinggi, serta memperkukuh ekosistem industri tempatan melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.

Selaras dengan agenda kemampanan menerusi aspirasi Malaysia MADANI, PETRA komited untuk terus memperkukuh kerangka dasar dan pelaksanaan program tenaga boleh baharu yang dapat menyokong agenda penyahkarbonan negara dengan menjadikan Bumiputera sebagai pemain utama dalam ekosistem tersebut dan sekali gus menyumbang ke arah sasaran 70% kapasiti Tenaga Boleh Baharu negara menjelang 2050.

Scroll to Top