Iran belum setuju sertai pusingan rundingan seterusnya dengan AS

Iran belum setuju sertai pusingan rundingan seterusnya dengan AS
Iran belum setuju sertai pusingan rundingan seterusnya dengan AS

CNN pada Jumaat melaporkan bahawa pegawai Iran dan Amerika dijangka tiba di ibu negara Pakistan, Islamabad pada Ahad untuk mengadakan pusingan kedua rundingan pada Isnin.

ISTANBUL – Teheran masih belum bersetuju untuk menyertai pusingan rundingan seterusnya dengan Washington, lapor agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim pada Sabtu yang memetik pihak berkuasa berkaitan, menurut Anadolu Ajansi (AA).

“Iran sehingga ke saat ini belum bersetuju dengan pusingan rundingan seterusnya berikutan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran serta “tuntutan melampau Washington dalam rundingan itu”.

“Ketiadaan tuntutan melampau daripada AS adalah syarat utama untuk meneruskan rundingan,” dakwa laporan itu sambil menambah bahawa mesej berkenaan telah disampaikan kepada AS melalui perantara Pakistan.

Memetik sumber Iran, CNN pada Jumaat melaporkan bahawa pegawai Iran dan Amerika dijangka tiba di ibu negara Pakistan, Islamabad pada Ahad untuk mengadakan pusingan kedua rundingan pada Isnin.

Washington dan Teheran telah mengadakan rundingan di Pakistan pada hujung minggu lepas, namun gagal mencapai sebarang kesepakatan.

Pada 28 Februari lalu, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran dan Teheran bertindak balas dengan serangan ke atas Israel serta negara serantau lain yang menempatkan aset-aset AS.

Peperangan berkenaan telah ditangguhkan sejak 8 April lepas, selepas Pakistan menjadi perantara bagi gencatan senjata selama dua minggu.-Bernama-Anadolu

Scroll to Top