Apple perkenal pembayaran 'Tap to Pay' di Malaysia

Apple perkenal pembayaran 'Tap to Pay' di Malaysia

saufi@mediaprima.com.my

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Apple hari ini mengumumkan pelancaran fungsi ‘Tap to Pay on iPhone’ di negara ini.

Ia sekali gus membuka peluang kepada ribuan peniaga tempatan menerima bayaran tanpa sentuh dengan lebih mudah dan selamat.

Teknologi ini membolehkan perniagaan menerima pembayaran fizikal hanya menggunakan iPhone, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan seperti mesin terminal kad.

Menerusi ciri ini, peniaga hanya perlu menggunakan aplikasi iOS yang disokong pada iPhone 11 atau model lebih baharu dengan versi sistem operasi terkini.

Semasa proses pembayaran, pelanggan hanya perlu mendekatkan kad debit atau kredit tanpa sentuh, iPhone, Apple Watch atau dompet digital lain ke peranti peniaga dan transaksi akan diselesaikan secara selamat melalui teknologi NFC.

Pelaksanaan kaedah ini turut membabitkan kerjasama dengan beberapa platform pembayaran utama termasuk Stripe, HitPay, Zoho, ADAPTIS dan Fiuu.

Integrasi ini membolehkan pelbagai jenis perniagaan daripada penjaja kecil, kafe hingga rangkaian runcit besar menawarkan kaedah pembayaran moden tanpa perlu pelaburan kos perkakasan tambahan.

Selain itu, fungsi ini menyokong pelbagai rangkaian pembayaran utama di Malaysia termasuk American Express, JCB, Mastercard, MyDebit, UnionPay dan Visa, di samping keserasian dengan Apple Pay serta dompet digital lain.

Menurut Apple, aspek keselamatan dan privasi menjadi keutamaan dalam pembangunan ciri ini.

Semua transaksi yang dilakukan akan disulitkan dan diproses menggunakan teknologi ‘Secure Element’, iaitu sistem keselamatan yang sama digunakan dalam Apple Pay.

Syarikat itu menegaskan bahawa ia tidak menyimpan maklumat kad atau data transaksi, sekali gus memastikan data pengguna kekal dilindungi sepenuhnya.

Pada perkembangan berkaitan, Apple turut memaklumkan bahawa Tap to Pay on iPhone akan diperluaskan ke kedai rasmi mereka di The Exchange TRX dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuh lagi ekosistem pembayaran digital di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top