SPRM kenal pasti 40 saksi kes penyelewengan dana NGO

SPRM kenal pasti 40 saksi kes penyelewengan dana NGO

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Seramai 40 saksi sudah dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.

Ketua Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai 11 individu sudah dirakam keterangan berhubung kes terbabit.

Menurutnya, lebih kurang 40 saksi akan untuk dipanggil bagi membantu siasatan.

“Seperti mana saya pernah sebut semalam, isu ini bukan tentang penyalahgunaan duit zakat, tapi daripada siasatan yang kita jalankan, mereka adalah NGO yang mendapat komisen dalam mengutip sumbangan daripada orang ramai.

“NGO terbabit mendapat 60 peratus daripada kutipan sumbangan berkenaan manakala hanya 40 peratus diberikan kepada pihak yang memohon untuk membuat kutipan,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang di sini hari ini.

Azam berkata secara jelas NGO terbabit menyalahgunakan wang itu untuk kegunaan diri sendiri, keluarga dan sebagainya.

Justeru katanya harta dan wang sekiranya didapati dari sumber tidak sah, SPRM akan terus bekukan untuk mengenal pasti adakah itu wang mereka atau pun wang yang diselindungkan.

Sementara itu berkaitan kes penyelewengan dana NGO berjumlah RM12.3 juta membabitkan seorang pendakwah bebas di Nilai, beliau berkata, seramai 15 saksi sudah pun dirakam keterangan setakat ini, manakala seramai 14 lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Tambahnya SPRM juga akan membuat permohonan menyambung reman pendakwah berusia lingkungan 30-an itu berikutan tempoh remannya akan berakhir pada Ahad.

“Kami jangka akan memohon untuk tambahan reman kerana kita memerlukan masa untuk mengesan dokumen dan saksi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Azam memaklumkan bahawa proses siasatan kedua-dua kes terbabit kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana SPRM perlu mendapatkan maklumat daripada institusi perbankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top