YANGON: Junta tentera mengarahkan badan kebajikan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF), menghentikan perkhidmatan di Myanmar, sekali gus mengancam ribuan nyawa pesakit HIV dan tuberkulosis (TB) di bawah jagaan mereka
MSF menerima surat daripada pihak berkuasa tempatan, yang mengarahkan mereka menghentikan semua kegiatan di Dawei, di mana ia menjaga pesakit HIV selama lebih 20 tahun.
“Menggantung kerja MSF bakal mengancam nyawa ramai pesakit kami ketika perkhidmatan awam masih teruk terjejas,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.
Ketika ini, hampir semua hospital awam ditutup susulan rampasan kuasa tentera pada Februari lalu, dengan kebanyakan doktor menyertai mogok, menyebabkan sistem kesihatan lumpuh.
MSF memaklumkan sudah cuba merayu pihak berkuasa mempertimbangkan semula arahan itu, yang bakal memberi kesan kepada 2,162 pesakit HIV sedang menerima rawatan antiretrovirus di bandar berkenaan.
Selain itu, MSF juga memberi amaran mengenai risiko peningkatan jangkitan penyakit, termasuk TB berikutan program TB di negara itu lumpuh sejak Februari lalu.
Katanya, MSF memohon pihak berkuasa di Dawei, yang juga tempat tinggal ketua junta, Min Aung Hlaing, untuk menarik balik arahan berkenaan.
Tunjuk perasaan serta tindakan ganas pihak berkuasa berlaku hampir setiap hari di Dawei sejak pemberontakan tentera empat bulan lalu.
Lebih 800 individu sudah terbunuh di seluruh negara itu sejak Februari, menurut kumpulan pemerhati tempatan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




