Lebih 300,000 pengunjung dianggarkan hadir tiga hari KJH X Mega JPJ MADANI 2026

Lebih 300,000 pengunjung dianggarkan hadir tiga hari KJH X Mega JPJ MADANI 2026

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Karnival Jom Heboh (KJH) X Mega JPJ MADANI 2026, di Stadium Negeri Pulau Pinang yang bakal melabuhkan tirainya lewat malam ini dijangka merekodkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga hari penganjurannya.

Ia sekali gus meletakkan edisi KJH di Pulau Pinang menjadi antara negeri paling ramai merekodkan kedatangan pengunjung pada program berkenaan tahun ini.

Buat julung kalinya, jenama berusia lebih dua dekad itu bekerjasama dengan JPJ sempena ulang tahun ke-80 jabatan itu dengan majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Sepanjang tiga hari berkampung di Pulau Mutiara, pelbagai aktiviti dirancang untuk memberikan hiburan dan kenangan manis khusus buat warga utara termasuk pelbagai inisiatif untuk rakyat telah disediakan pihak JPJ selaku penaja utama.

Tinjauan mendapati ada pengunjung sanggup datang pada ketiga-tiga hari program termasuk ada yang datang dua kali sehari kerana ingin meneroka lebih 150 reruai dan gerai yang disediakan selain memburu pelbagai ‘freebis’ yang ditawarkan penganjur pada karnival itu.

Sharifah Nurul Najiha Syed Ahmad, 31, dan suaminya Muhamad Amzar Mohd Nasir, 31, berkata mereka adalah pengunjung setia KJH sejak berpindah ke Simpang Ampat pada 2022 dan biasanya akan datang dua kali sehari pada hari Sabtu dan Ahad untuk menyaksikan konsert pada sebelah malam selain meneroka lebih 150 reruai dan gerai yang disediakan penganjur.

“Sudah tiga hari berturut-turut kami datang ke sini. Semalam dan kelmarin pun kami datang dua kali dan rasa puas menyaksikan konsert Siti Nurhaliza dan Awie. Kami juga suka masuk cabaran, kuiz dan apa saja pertandingan dan gembira dapat bawa balik banyak hadiah.

“Kami peniaga online dan suka datang karnival begini selain ada juga kawan-kawan dan keluarga yang mengirim makanan barangan yang dijual semasa ‘happy hour’ dan makanan viral. Gerai yang disediakan teramat banyak tak cukup kalau datang sehari bagi kami.

“Pagi tadi pun kami dapat beras wangi di reruai NSTP dan rasa macam dapat rezeki terpijak pula sebab tak tahu ada program edaran beras itu dan rasa bertuah sangat sebab dengarnya 10 minit sudah habis,” katanya.

Bagi anggota polis, Hasrul Abdul Anziz, 38, dari Bagan Serai, Perak dia gembira menghabiskan masa berkualiti bersama isteri dan tiga anak yang berusia lima, sembilan dan 13 tahun selain semua mereka turut menyertai JPJ Fun Run pagi tadi selain turut dapat menukar topi keledarnya yang telah usang.

“Saya juga dapat bawa anak-anak periksa gigi sebab hari biasa waktu kerja tidak menentu jadi ini peluang yang baik sebab Jom Heboh ada macam-macam agensi kerajaan swasta yang biasa tutup hari cuti.

“Sudah banyak kali kami pergi Jom Heboh di Batu Kawan tak terkira dan boleh kata tiap-tiap tahun. Anak-anak pun gembira sebab dibawa jalan-jalan, main ‘soopa doopa’, mewarna dan Jom Heboh memang sesuai untuk seisi keluarga,” katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu Kedah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top