
Faisal naik angin kerana bekas isterinya mahu berkahwin lagi. Foto Agensi
UJUNG BULU – Gara-gara cemburu mantan isteri mahu berkahwin lagi, seorang lelaki tergamak membunuh bekas mentuanya.
Insiden berdarah itu berlaku di Jalan Jenderal Ahmad Yani, Kelurahan Caile di Kabupaten Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Isnin.
Pelaku dikenali sebagai Ahmad Faisal, 38, melakukan perbuatan itu setelah terlibat pertengkaran dengan Nurfatmawati, 23.
Pergaduhan mulut mereka turut didengari jiran tetangga hingga bekas bapa mentuanya, Herman, 49, terpaksa masuk campur untuk meleraikan mereka.
Tetapi, Faisal naik angin dan berkelahi pula dengan mangsa dan bertindak menyerangnya dengan senjata tajam jenis badik.
Tikaman itu mengenai bahagian kiri perut Herman hingga menyebabkannya berlumuran darah.
Jiran yang mengetahui kejadian serangan itu bertindak segera membawa mangsa ke RSUD H Andi Sulthan Daeng Radja.
Tetapi, dia disahkan meninggal dunia sebelum sempat tiba di rumah sakit.
Faisal kemudiannya melarikan diri, namun berjaya ditahan pihak berkuasa
di Desa Garanta, Kecamatan Ujung Loe, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat Kota Bulukumba.
“Pelaku sudah ditahan dan disoal siasat,” kata Kasat Reskrim Polres Bulukumba, AKP Andi Imran Hamid. – Agensi



