
Kesemua mereka dilaporkan meninggal dunia selepas menjamah makanan berkenaan.-Agensi
NEW DELHI – Empat ahli sebuah keluarga termasuk dua kanak-kanak di Mumbai, India maut selepas disyaki mengalami keracunan makanan selepas makan hidangan beriani diikuti tembikai dalam kejadian di kawasan Pydhonie, kata pihak polis.
Menurut polis Mumbai, kejadian berlaku pada malam 25 April apabila sembilan ahli keluarga berkumpul untuk makan malam sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun, empat mangsa dalam keluarga tersebut kemudian dipercayai memakan tembikai pada awal pagi keesokannya sebelum mula menunjukkan simptom serius seperti muntah dan cirit-birit beberapa jam kemudian.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 40 tahun, isterinya berusia 35 tahun serta dua anak perempuan berusia 16 dan 13 tahun.
Kesemua mereka kemudian menerima rawatan di Hospital JJ, namun keempat-empatnya disahkan meninggal dunia antara pagi hingga malam 26 April.
Pihak hospital telah menjalankan bedah siasat, namun punca sebenar kematian masih belum dapat disahkan dan sedang menunggu keputusan laporan lanjut.
Kes kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (AD) dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.-Agensi



