Pelakon, Abby Abadi tampil berkongsi pandangan mengenai isu curang dalam rumah tangga apabila segelintir pihak dilihat lebih menyalahkan ‘penyondol’ berbanding suami sendiri ketika berdepan konflik perkahwinan.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang individu mempersoalkan tindakan kebanyakan isteri yang didakwa lebih cenderung menyerang orang ketiga apabila suami berlaku curang.
“Kenapa bila suami curang, isteri selalu salahkan penyondol? Serangan utama mesti penyondol. Suami tak salah ke? Kebanyakan mesti tularkan muka penyondol dulu,” tulis individu terbabit.
Perkongsian itu mendapat perhatian Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, yang menegaskan kedua-dua pihak seharusnya dipersalahkan kerana sama-sama terlibat dalam keruntuhan sesebuah rumah tangga.
Malah, Abby turut membuka cerita mengenai pengalaman pahit yang pernah dilaluinya apabila rumah tangga dibina musnah akibat kehadiran orang ketiga.
“Dua-dua salah dan patut dipersalahkan. Zaman saya dulu, saya salahkan suami saja sebab awalnya tak tahu siapa penyondol.
“Akhirnya mereka bersama, hidup aman bahagia sedangkan saya dan anak-anak ditinggalkan macam itu saja,” katanya.
Dalam pada itu, Abby mengakui dia memilih untuk mengalah dan memaafkan segala yang berlaku meskipun terpaksa membesarkan anak-anak sendirian tanpa meminta bantuan daripada bekas suami.
“Pendekkan cerita, saya maafkan dan mengalah untuk semua perkara. Susah senang saya jalan terus, jaga anak-anak tanpa meminta apa-apa daripada bekas suami.
“Masa berlalu, tiba-tiba mereka kaya. Kita pula yang nampak salah di mata semua orang. Itulah dunia,” katanya.
Abby bagaimanapun menitipkan pesanan kepada golongan isteri supaya tidak terlalu beralah dan menuntut hak sewajarnya demi masa depan diri serta anak-anak jika berdepan situasi sama.
“Pengajarannya, tuntut hak dari mula. Biar tinggal pakaian dalam saja,” katanya.

Artikel Berkaitan: 22 Tahun Menanti, Abby Abadi Lega Norman Hakim Selesai Bayar Mas Kahwin Tertunggak – “Panjang Lagi Ceritanya, Masih Ada Tuntutan Nafkah Anak-Anak Untuk 18 Tahun”
Artikel Berkaitan: “Ini Aku Bagi Amaran Pertama & Terakhir, Jangan Cuba Masuk Campur” – Norman Hakim Buka Mulut Isu Mas Kahwin & Nafkah Tertunggak Abby Abadi




