puterialia@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Vokalis kumpulan Slam, Zamani, 55, tampil menjelaskan mengenai keadaan postur badannya yang dilihat kembali membongkok baru-baru ini.
Menurut Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, perkara itu bukanlah disebabkan masalah kesihatan yang serius, sebaliknya ia lebih kepada tabiat lama yang sukar dikikis.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang okey cuma biasalah, sebenarnya itu mungkin ‘habit’ saya yang sudah terbiasa begitu.
“Sebenarnya saya boleh tegakkan badan, tetapi kadang-kadang tanpa sedar saya akan kembali (membongkok).
“Sebab itu kena ada orang yang ingatkan saya. Isteri saya memang banyak tegur dan ingatkan mengenai perkara itu, tetapi secara keseluruhan saya okey,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Sidang media The Grand Slam Unplugged 2 & Persembahan Akustik SLAM di Rumah Kayu 1928, Kuang, di sini, semalam.
Mengulas mengenai keadaan fizikalnya yang memberi kesan kepada vokalnya, pelantun lagu Gerimis Mengundang ini mendedahkan masalah saraf pada bahagian tulang belakang badannya sedikit sebanyak mengganggu sistem pernafasannya ketika menyanyi.
“Bila melibatkan tulang belakang, ia ada kaitan dengan saraf dan pernafasan jadi saya kena lebih berhati-hati dan sesuaikan teknik nyanyian.
“Masalah di bahagian tulang belakang ini melibatkan banyak saraf, jadi pernafasan saya memang agak terganggu. Jadi saya kena lebih berhati-hati dan sesuaikan dengan teknik nyanyian.
“Malah, dari segi susunan lagu juga, terdapat beberapa pertukaran ‘key’ asal yang perlu dilakukan,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai rawatan susulan di hospital, Zamani memaklumkan dia sepatutnya melakukan pemeriksaan, namun berasa keadaannya masih terkawal hasil nasihat doktor.
“Doktor kata apabila kita melakukan aktiviti (menyanyi), ia lebih kurang seperti latihan untuk badan. Cuma Doktor ada pesan, jangan overdo (buat secara berlebihan).
“Alhamdulillah, setakat ini kesihatan saya baik. Persiapan konsert juga berjalan lancar dan rakan-rakan anggota Slam yang lain banyak membantu saya,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, selepas dua dekad, Konsert The Grand Slam Unplugged 2 bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 Jun ini.
Apa yang lebih menarik, Slam turut menjemput tiga sosok penting dalam industri seni iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search sebagai artis jemputan dalam Konsert The Grand Slam Unplugged 2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




