Penyanyi Elyana memaklumkan dirinya kini sedang menjalani rawatan kemoterapi kali kelapan menerusi satu perkongsian menyentuh hati di media sosial.
Jalani kemoterapi ke-8

Menerusi perkongsian di Instagram, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal turut berkongsi keadaan emosinya ketika mendapatkan rawatan berkenaan.
==
“Chemo cycle 8. Jiwa nya sudah lama menyerah, tetapi raga nya masih tetap berjuang,” tulisnya.
Pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus memberikan doa serta kata-kata semangat buat dirinya.

“Masya-Allah… terima kasih atas segala doa dan segala ucapan yang baik. Semoga Allah SWT membalas semua kebaikan kalian. Kalian orang yang baik,” jelasnya.
Dalam masa sama, Elyana turut memohon maaf sekiranya pernah melakukan kesilapan sepanjang dikenali peminat dan orang sekeliling.
“Maaf seandainya saya ada berbuat salah selama anda mengenali saya. Jaga kesihatan ya… love u so much,” katanya.
Bukan itu sahaja, dia turut mengakui dirinya tidak sekuat dan seceria seperti yang sering dilihat sebelum ini.
“Aku tidak sekuat itu, aku tidak seceria itu, aku tidak sesabar itu dan aku tidak boleh terus berpura-pura. Aku juga manusia sama seperti kamu.
“Bolehkah sesekali aku menangisi semua hal-hal berat yang terjadi di hidup ku?” tambahnya lagi.

Artikel lain: Elyana terus kuat bertarung hidup sebagai pejuang kanser – “Aku sudah faham arah akhirnya ke mana”
Untuk rekod, Elyana sebelum ini mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma dan telah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi. Dia juga sering berkongsi perkembangan kesihatannya secara terbuka sebagai sumber inspirasi kepada pesakit lain.
Walaupun berdepan cabaran kesihatan yang berpanjangan, dia kekal positif dan tidak pernah berhenti menyebarkan mesej kekuatan serta ketabahan kepada orang ramai.
Perkongsian terbaharunya itu jelas menggambarkan ketenangan dan penerimaan terhadap takdir, dalam masa sama memperlihatkan keinginannya untuk terus menghargai setiap detik kehidupan yang masih ada.
Sumber: Instagram elyanaofficial1




