Penceroboh maut dilanggar pesawat, tersedut ke dalam enjin

Penceroboh maut dilanggar pesawat, tersedut ke dalam enjin

DENVER – Sebuah pesawat Frontier Airlines yang dalam perjalanan ke Los Angeles dilaporkan melanggar seorang individu yang menceroboh masuk ke landasan ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver pada malam Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.19 malam waktu tempatan apabila penerbangan Frontier 4345 memaklumkan pesawat itu melanggar seorang pejalan kaki ketika sedang berlepas.

Menurut Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, individu terbabit dipercayai berada di landasan selepas menceroboh kawasan keselamatan lapangan terbang.

Pegawai memaklumkan mangsa kemudiannya ‘tersedut’ ke dalam enjin pesawat, menyebabkan kebakaran besar pada enjin dan asap memenuhi kabin dalam tempoh beberapa saat.

Beberapa penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX) pada pagi Sabtu menyifatkan detik itu sebagai amat mencemaskan.

“Bunyi dentuman kuat kedengaran, kemudian api dan asap mula kelihatan. Ia sangat mengerikan,” kata seorang penumpang, Vanilla Ellis.

Seorang lagi penumpang, Brandon Dee berkata, mereka bergelut untuk bernafas selepas asap memenuhi kabin.

“Saya menunggu topeng oksigen turun, tetapi ia tidak turun. Semua orang panik dan sukar bernafas,” katanya.

Menurut Frontier Airlines, pesawat Airbus A321 itu membawa 224 penumpang dan tujuh anak kapal.

Juruterbang kemudian membatalkan proses berlepas sebelum semua penumpang dipindahkan dari pesawat menggunakan gelongsor kecemasan di landasan.

Mereka kemudiannya dibawa ke terminal dengan bas oleh pasukan kecemasan.

Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy berkata, laporan awal menunjukkan 12 orang cedera manakala lima lagi dibawa ke hospital.

Semua penumpang dan anak kapal diperiksa sebagai prosedur biasa selepas pemindahan kecemasan.

Rakaman komunikasi kawalan trafik udara menunjukkan juruterbang memaklumkan menara kawalan bahawa pesawat perlu berhenti di landasan selepas melanggar seseorang dan mengalami kebakaran enjin.

“Kami ada 231 orang di dalam pesawat. Ada seorang individu berjalan melintasi landasan,” kata juruterbang dalam rakaman itu.

Tidak lama kemudian, juruterbang memaklumkan terdapat asap di dalam pesawat dan proses pemindahan perlu dilakukan di landasan.

Jabatan Bomba Denver dikerahkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran.

Duffy berkata, siasatan awal mendapati mangsa menceroboh kawasan keselamatan lapangan terbang dengan memanjat pagar perimeter sebelum berlari ke landasan.

Individu itu kemudian dilanggar pesawat ketika pesawat bergerak pada kelajuan tinggi untuk berlepas.

Frontier Airlines dalam kenyataan berkata, pihaknya amat sedih dengan kejadian tersebut dan sedang bekerjasama dengan pihak lapangan terbang serta agensi keselamatan penerbangan bagi menyiasat insiden itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Denver memaklumkan mangsa belum dikenal pasti dan dipercayai bukan pekerja lapangan terbang.

Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat pencerobohan keselamatan itu dengan bantuan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA).

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) turut dimaklumkan, manakala landasan 17L ditutup sementara siasatan dijalankan.-Agensi

Scroll to Top