Buang bayi dua bulan depan rumah kosong, wanita ditahan

Buang bayi dua bulan depan rumah kosong, wanita ditahan

am@hmetro.com.my

Semporna: Polis menahan seorang wanita warga asing selepas disyaki meninggalkan bayi lelaki berusia kira-kira dua bulan di depan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini, hari ini.

Bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu ditemukan orang awam dalam keadaan dibungkus dengan kain jam 7 pagi sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.16 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak Hospital Semporna sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita warga asing berusia 28 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak yang berusia kurang daripada 12 tahun dengan niat membuangnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muneesh Jegathesuran di talian 012-9922566 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top