Institusi Raja-Raja Melayu tonggak perpaduan, kestabilan negara

Institusi Raja-Raja Melayu tonggak perpaduan, kestabilan negara

GEORGE TOWN – Institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol warisan sejarah negara, sebaliknya berperanan sebagai payung Perlembagaan, pelindung rakyat serta tonggak keseimbangan dan perpaduan nasional.

Pandangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menegaskan bahawa peranan institusi diraja kekal penting dalam memastikan kestabilan negara terus terpelihara di tengah-tengah kepelbagaian masyarakat.

Menurut beliau, kestabilan sesebuah negara bergantung kepada empat pasak utama iaitu Perlembagaan, Raja-Raja Melayu, rakyat dan kakitangan kerajaan.

“Apabila keempat-empat pasak ini kuat, harmoni dan saling dihormati, negara akan terus stabil, aman serta maju.

“Namun, jika salah satu daripadanya lemah atau tidak dihormati, keseluruhan struktur negara boleh tergugat,” katanya pada Rabu.

Reezal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbahasannya terhadap ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 di sini yang dibuat pada Selasa.

Beliau menambah, tindakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang memilih untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyelesaikan isu berkaitan Sukan Malaysia (Sukma) merupakan contoh pendekatan berhemah yang wajar dicontohi.

Kata Reezal, langkah itu membuktikan bahawa sesuatu isu boleh diselesaikan secara harmoni apabila setiap pihak mengutamakan adab serta saluran yang betul dalam berkomunikasi dengan institusi diraja.

“Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan martabat institusi negara. Teguran hendaklah disampaikan dengan berhemah, berasaskan fakta, menggunakan bahasa sopan, berlandaskan adab serta melalui saluran yang wajar.

“Dalam hal ini, saya memuji penyelesaian isu Sukma yang dicapai secara harmoni hasil pendekatan diplomasi dan penghormatan terhadap institusi diraja,” tambahnya.

Beliau berkata, negara akan lebih dihormati apabila rakyatnya mampu mengekalkan keseimbangan antara keberanian menyuarakan pandangan dan kebijaksanaan menjaga adab serta institusi negara.

Scroll to Top