Dalang godam akaun Jungkook diekstradisi

Dalang godam akaun Jungkook diekstradisi

Seoul: Seorang warga China yang didakwa mengetuai rangkaian penggodaman bernilai jutaan dolar yang menyasarkan pelbagai mangsa termasuk ahli kumpulan K-pop popular BTS sudah diekstradisi ke Korea Selatan, lapor BBC.

Kementerian Kehakiman Seoul menuduh suspek berusia 40 tahun itu mencuri 38 bilion won (kira-kira RM131 juta) daripada pelbagai mangsa dengan menggodam laman web agensi kerajaan dan tokoh awam.

Sindiket penipuan itu didakwa memperoleh akses kepada akaun sekuriti atas nama vokalis BTS, Jungkook dan cuba memindahkan saham bernilai 8.4 bilion won (kira-kira RM29 juta) yang dipegang oleh Jungkook dalam syarikat pengurusan kumpulan itu, Hybe.

Bagaimanapun, transaksi itu berjaya disekat selepas syarikat hiburan berkenaan membekukan akaun terbabit, menurut laporan media Korea Selatan.

Kegiatan penggodaman itu didakwa berlaku antara Ogos 2023 hingga April 2025.

Pengerusi sebuah “konglomerat utama” dan seorang ketua syarikat usaha niaga turut dikenal pasti antara mangsa lain, menurut agensi berita AFP.

Polis menyatakan mereka merancang untuk memohon waran tangkap terhadap suspek selepas soal siasat dijalankan dan bukti dianalisis.

Suspek yang tidak didedahkan identitinya itu berpangkalan di Bangkok sebelum proses ekstradisi dilakukan.

Pada Ogos tahun lalu, seorang lagi warga China berusia 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam rangkaian yang sama turut diekstradisi dari Thailand.

Dia didakwa pada September dan kini sedang dibicarakan di Korea Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top