am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis menahan 213 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Johor Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, dalam serbuan jam 2.30 pagi pada 3 Mei lalu pihaknya turut menahan empat lelaki tempatan berusia 22 hingga 36 tahun termasuk salah seorang daripadanya dikehendaki berkaitan kes dadah.
Katanya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D7, Pencegahan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hasil risikan dan maklumat awam.
“Kesemua 213 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 45 tahun dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas dua telefon bimbit, 10 keping kertas catatan jualan kalung bunga serta dua mesin e-wallet.
Katanya, suspek warga tempatan direman pada 3 hingga 6 Mei lalu manakala wanita warga asing itu pula direman selama 14 hari sehingga esok mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
“Pemilik premis akan didakwa mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Seramai 103 wanita warga asing pula akan dituduh mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, sembilan lagi wanita warga asing akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua wanita lain dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya yang turut memaklumkan semua suspek dijangka dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




