Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan golongan muda bebas untuk memberi teguran kepada kerajaan, namun ia perlu dilakukan berteraskan ilmu, prinsip serta akhlak.
Kerajaan terbuka terima kritikan
Memetik laporan daripada Sinar Harian, kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang kritikan selagi ia disampaikan secara berhemah dan berdasarkan prinsip yang betul.
“Sebab itu saya katakan pemikiran kritis itu harus ada. Dalam beberapa pertemuan, mereka (anak muda) memberi teguran kepada bapa-bapa mereka, malah kepada Perdana Menteri. Kita harus terima dengan baik kerana mereka menegur berdasarkan prinsip dan keyakinan.
“Kita mahu anak muda kita berlapang dada menimba ilmu, tetapi prinsip akhlak itu mesti ada kerana kita juga tidak terlepas dengan kesulitan dan permasalahan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan pada Jumaat.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Pesanan kepada anak-anak muda
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan Malaysia masih mampu mendepani cabaran global termasuk krisis di Asia Barat dengan baik walaupun terdapat pihak yang terus mempertikaikan keadaan ekonomi negara.
“Saya dengar ada satu pidato, pertama dia bayangkan saya dengan Abu Jahal. Kedua, dia kata tidak ada pembangunan, kononnya negara dan ekonomi hancur. Ini dia belajar ‘kitab’ mana pun saya tidak tahu.
“Ini sebabnya hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran kritis yang didorong oleh hawa nafsu tanpa pertimbangan ilmu serta akhlak. Inilah pesanan saya kepada anak-anak muda,” katanya.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama semua pihak ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya perebutan kuasa politik.
“Menyelesaikan masalah rakyat perlu menjadi keutamaan semua, bukannya soal perebutan kuasa.
“Negara kita hadapi masalah, fokusnya permasalahan rakyat bukan perebutan, kerana ada masa dalam sistem kita iaitu pilihan raya adalah gelanggangnya.
“Tapi sekarang adalah masa kita bangun, rakyat harus diberi perhatian,” katanya.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia selain merasmikan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 dan Rakan Muda Madani.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)




