Tingkat tempo bantu Fei-Din lolos separuh akhir Terbuka Thailand

Tingkat tempo bantu Fei-Din lolos separuh akhir Terbuka Thailand
Tingkat tempo bantu Fei-Din lolos separuh akhir Terbuka Thailand

Sze Fei-Izzuddin mara ke separuh akhir Terbuka Thailand. FOTO: Bernama

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menampilkan kebangkitan berkualiti apabila berjaya menempah slot ke separuh akhir Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, Bangkok pada Jumaat.

Gandingan di ranking kesembilan dunia itu terlebih dahulu berdepan detik sukar apabila tewas pada set pembukaan kepada beregu kembar Scotland, Christopher dan Matthew Grimley 19-21.

Namun, perubahan ketara dari segi tempo permainan menjadi pemisah utama selepas itu apabila Sze Fei-Izzuddin mula mempercepatkan rentak, mengurangkan fasa bertahan dan lebih berani menekan lawan dari awal rali.

Pendekatan tersebut membuahkan hasil apabila mereka menguasai set kedua 21-15 sebelum terus mendominasi set penentuan 21-8 hasil permainan lebih agresif dan konsisten.

Mengulas aksi suku akhir tersebut, Izzuddin mengakui mereka gagal mengawal permainan pada set pertama, namun segera menukar pendekatan dengan meningkatkan tempo serta intensiti serangan.

“Kami agak bergelut pada set pertama, tetapi selepas itu kami cuba ubah tempo permainan.

“Bila kami mula main lebih laju dan agresif, permainan jadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Sze Fei menjelaskan keadaan angin serta servis lawan sedikit mengganggu rentak awal permainan, namun penyesuaian dari segi kelajuan permainan membantu mereka menguasai semula perlawanan.

“Kami banyak terkesan dengan servis lawan dalam keadaan angin, jadi pada awalnya lebih banyak bertahan.

“Selepas kami naikkan tempo, kami lebih mudah mengawal permainan,” ujarnya.

Menanti Sze Fei-Izzuddin di separuh akhir esok ialah jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Kali terakhir Sze Fei-Izzuddin bertembung dengan pasangan No.4 dunia itu ialah di Terbuka Singapura yang tidak berpihak kepada mereka selepas tewas 17-21, 15-21 di suku akhir pada Mei tahun lalu.

Scroll to Top