Polis nafi unsur penganiayaan kematian pegawai semasa kawad

Polis nafi unsur penganiayaan kematian pegawai semasa kawad

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan tidak berasas yang mengaitkan unsur penganiayaan dalam kematian pegawai rendah polis ketika sesi latihan kawad tambahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, kelmarin.

Pegawai berusia 37 tahun yang bertugas di Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda itu dilaporkan meninggal dunia di perkarangan padang kawad IPD Sepang kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan bedah siasat Hospital Sultan Idris Shah, Serdang mengesahkan punca kematian akibat penyakit jantung iaitu ‘coronary atherosclerosis’.

“Penjelasan terperinci berkaitan perkara itu sudah disampaikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Perlis kira-kira jam 11 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, IPD Sepang menyangkal dakwaan yang mengaitkan insiden itu dengan unsur penganiayaan.

“Bagaimanapun, satu Jawatankuasa Penyiasat (CE) tetap ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara profesional dan telus bagi memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih demi menjaga kebajikan serta menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham,” katanya.

Norhizam berkata, seluruh warga IPD Sepang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan itu.

Media sebelum ini melaporkan Koperal Khairil Idzhar Rodzi, 36, yang bertugas di Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda, rebah semasa menjalani aktiviti kawad di IPD Sepang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top