am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang jururawat lelaki maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 3.8 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, lelaki berusia 30-an yang bertugas di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila lori tanpa muatan dari arah Seafield ke arah Bukit Jelutong berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pecah.
“Mangsa yang menunggang dari arah sama kemudian melanggar bahagian kanan belakang lori itu.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan telah disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ramsay turut meminta mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat kemalangan itu tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875.
© New Straits Times Press (M) Bhd




