‘Kita sekarang dalam tempoh edah, PRU16 dah tak lama’ – Radzi Jidin

‘Kita sekarang dalam tempoh edah, PRU16 dah tak lama’ – Radzi Jidin
‘Kita sekarang dalam tempoh edah, PRU16 dah tak lama’ – Radzi Jidin

Mohd Radzi ketika berucap pada Program Rapat Rakyat Selangor pada Sabtu.

SHAH ALAM – Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin membayangkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan besar akan diadakan lebih awal dan tidak akan menunggu sehingga ke penghujung penggal.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, landskap politik negara kini boleh diibaratkan sedang berada dalam tempoh ‘edah’ atau fasa persediaan akhir sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.

“Kita sekarang ini berada dalam edah dalam tempoh untuk Pilihan Raya Umum ke-16. Dah tak lama sangat dah.

“Macam-macam tempoh orang kata, mungkin sebelum hujung tahun, ada yang kata awal tahun depan. Tapi suka atau tidak, paling lambat akan berlangsung pada akhir tahun 2027,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Rakyat Selangor pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, kepimpinan kerajaan semasa pastinya tidak akan mengambil risiko kelewatan yang sama seperti yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu pada tahun 2018.

Menurut beliau, sejarah membuktikan tindakan melambat-lambatkan pilihan raya dengan harapan untuk menyelesaikan isu kritikal akhirnya membawa rebah kepada parti pemerintah.

“Dalam sejarah negara, saya rasa semua parti politik telah belajar daripada apa yang berlaku pada tahun 2018. Pada waktu itu, apabila berlaku kes 1MDB, kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) cuba menangguhkan pilihan raya umum hingga ke saat-saat akhir dengan harapan isu berkenaan dapat diselesaikan.

“Tetapi apabila tidak dapat diselesaikan dan pilihan raya terpaksa dibuat juga, akhirnya kita lihat kerajaan UMNO dan BN tumbang.

“Sebab itu saya rasa kerajaan yang ada pada hari ini tidak mahu mengambil risiko yang sama. Mereka tidak akan menunggu hingga ke hujung penggal untuk melaksanakan PRU,” jelasnya.

Sehubungan itu, bekas Menteri Pendidikan tersebut menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk bangkit menolak kepimpinan kerajaan sedia ada pada pilihan raya akan datang demi mengelakkan kemerosotan yang lebih parah terhadap negara.

“Lagi lama kita tunggu, lagi lama kita biarkan kerajaan ini memerintah. Sekiranya kita lihat pelbagai kerosakan berlaku selepas itu, kita akhirnya menyesal,” akhirinya. – Awani

Scroll to Top