Penghantar makanan p-hailing dijangka menerima penambahan kuota petrol bersubsidi Budi Madani RON95 (Budi95) sehingga 250 liter.
Tambahan kuota petrol

Memetik laporan Kosmo, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibawa untuk perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Selasa ini.
“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 200 sahaja liter.
“Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik dah 50, (menjadi) 250,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, hari ini.

Menurut Anwar, cadangan tersebut timbul hasil inisiatif beliau sendiri selepas turun padang dan mendengar sendiri keluhan penghantar makanan mengenai kuota sedia ada.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembaikan mendesak di kawasan perumahan berkenaan selepas menerima aduan daripada jawatankuasa penduduk setempat.
“Saya luluskan RM1 juta dulu, sekurang-kurangnya apa yang mendesak dulu. Kalau yang pecah kah, pintu kah apa sebagainya, kita baik pulih,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Menteri rompak kekayaan negara? PM Anwar cabar dakwaan, minta kemuka bukti!
Pada majlis sama, beliau turut mengarahkan pegawainya supaya menyegerakan pembaikan kemudahan tandas rosak di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara selepas perkara itu dibangkitkan penduduk.
Sumber: Kosmo (Masturah Suradi)




