Bimbang dana asing biayai parti Rafizi, tiga NGO lapor polis

Bimbang dana asing biayai parti Rafizi, tiga NGO lapor polis
Bimbang dana asing biayai parti Rafizi, tiga NGO lapor polis

Daing Mohamad (tengah), Sharizan (kiri) dan Redzwan ketika membuat laporan polis di IPD Ampang pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pembela Tanah Air (PETA), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan aliran dana asing yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Pengerusi Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS), Daing Mohamad Daing Makati yang bertindak sebagai jurucakap kepada ketiga-tiga NGO berkenaan berkata, laporan itu dibuat susulan pengumuman Rafizi mengambil alih sebuah parti politik.

Beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya parti yang diterajui Rafizi menerima pembiayaan dana asing sehingga berpotensi mempengaruhi sistem politik negara pada masa depan.

“Kita bimbang jika parti pimpinan Rafizi ini ditubuhkan dengan pembiayaan dana asing kerana ia boleh memberi ancaman yang tidak terduga terhadap sistem politik negara.

“Jika ada calon parti Rafizi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dikhuatiri mereka akan terpengaruh dengan pihak pemberi dana asing,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada Ahad.

Turut serta ialah wakil PETA, Redzwan Abu Samah dan wakil Pekemas, Sharizan Ramli.

Pada Jumaat lalu, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) turut membuat laporan polis berhubung video tular yang mengaitkan Rafizi dengan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara menerusi sebuah proksi tempatan.

Menurut SekPur, nama Rafizi didakwa dikaitkan sebagai individu yang menggunakan dana berkenaan.

Terdahulu, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP).

Simbolik penyerahan parti itu kepada Rafizi dan Nik Nazmi dilakukan pada majlis pengumuman hala tuju politik kedua-dua pemimpin berkenaan di ibu negara pada Ahad.

Scroll to Top