Veteran UMNO desak parti keluar Kerajaan Perpaduan, dakwa pemimpin DAP langgar garis merah

Veteran UMNO desak parti keluar Kerajaan Perpaduan, dakwa pemimpin DAP langgar garis merah

SHAH ALAM – UMNO digesa keluar daripada Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa menghina institusi diraja dan melanggar garis merah berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kenyataan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu terhadap titah Sultan Selangor adalah tidak wajar dan keterlaluan.

Ujarnya, tindakan Tony Pua itu disifatkan sebagai biadab dan menunjukkan sikap tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Dia jelas melanggar garis merah 3R dengan secara sedar. Sikapnya yang anti Melayu dan institusi diraja menjadi punca orang Melayu tidak dapat menerima DAP sebagai rakan kongsi kepada UMNO dalam kerajaan sekarang.

“Sudah banyak kali pemimpin DAP melanggar garis merah, perjanjian persafahaman bersama penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, perkara berkenaan pernah dibincang dalam Musyawarah Nasional lalu, yang menjadi keresahan orang Melayu.

Ujarnya, UMNO telah lama bersabar sehingga parti itu dituduh sebagai kuda tunggangan DAP.

“Oleh itu, veteran mendesak supaya UMNO membuat keputusan keluar daripada kerajaan sekarang demi maruah Melayu dan parti.

“Selain itu, DAP mesti memohon maaf kepada Tuanku Sultan diatas keceluparan Tony Phua. Hakikatnya kenyataan Tony itu walaupun dimaksudkan kepada Sultan Selangor tetapi secara umumnya ditujukan kepada raja-raja negeri lain juga,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

‘Cukup-cukuplah kerjasama dengan mereka, titah Sultan pun sanggup diperlekeh’ – Akmal Saleh

Hormati Institusi Raja, jangan pilih Perlembagaan ikut kepentingan politik – Mohamed Sukri

Media sebelum ini melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tony Pua yang mendakwa kuasa raja terhad disifatkan cuba memisahkan institusi raja daripada Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan beliau itu mengundang pelbagai kritikan yang mendakwa pandangan diberikan itu mengelirukan dan tidak memberi tafsiran sebenar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Scroll to Top