SHAH ALAM – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perpaduan rakyat perlu difahami dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan dan bukannnya dianggap sebagai campur tangan politik.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bekata, titah baginda merupakan nasihat, teguran dan pandangan seorang raja yang lahir daripada tanggungjawab untuk memastikan kestabilan negeri, keharmonian masyarakat serta kepentingan rakyat terpelihara sebagaimana diperjelaskan Dewan Diraja Selangor sebelum ini.
“Dalam tradisi Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini, titah adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi raja, dizahirkan demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya.
“Ia bukanlah satu ‘decree’ atau perintah seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik.
“Oleh itu titah Tuanku Sultan Selangor harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk dalam suasana dunia semakin mencabar serta tidak menentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu Tengku Zafrul menjelaskan, perkara yang dizahirkan Sultan Selangor bukan sekadar mengenai perpaduan orang Melayu, sebaliknya kekuatan Melayu dan Islam perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang melindungi kepentingan semua kaum serta agama.
Ujar beliau, sejarah tamadun Islam membuktikan kegemilangan sesuatu peradaban tidak dibina atas perpecahan atau kebencian, tetapi melalui kekuatan ilmu, keadilan, kestabilan dan kemampuan merangkul kepelbagaian masyarakat.
“Kita juga harus memahami dan menginsafi hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum lain.
“Kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat menghormati dan mempercayai antara satu sama lain,” menurutnya.
Tengku Zafrul turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu berkenaan sehingga menjejaskan keharmonian rakyat Selangor.
Ketika dunia berdepan ketidaktentuan termasuk cabaran krisis tenaga dan bekalan global, beliau menegaskan, Malaysia memerlukan politik yang matang, mampu membina keyakinan rakyat serta menjamin kestabilan negara.
“Tumpuan berterusan harus diberi kepada usaha memperkukuhkan institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya membinasa negara dan bangsa.
“Terus berpegang teguh dan mengabdikan lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup masyarakat aman, harmoni dan berjaya,” ujarnya.



