TOKYO – Seorang pengusaha restoran India di Jepun menangis ketika mendedahkan beliau diarahkan meninggalkan negara itu selepas permohonan pembaharuan visa perniagaannya ditolak pihak imigresen susulan dasar baharu yang lebih ketat.
Manish Kumar yang menetap di Jepun selama 30 tahun dan mengusahakan restoran India di wilayah Saitama sejak 18 tahun lalu berkata, Agensi Perkhidmatan Imigresen Jepun (ISA) menolak visa pengurus perniagaannya baru-baru ini.
Ketika berucap dalam satu perhimpunan bantahan di Tokyo, Kumar berkata, keputusan itu menghancurkan masa depan keluarganya kerana anak-anaknya lahir dan membesar di Jepun.

Kumar dalam sidang media berkenaan.-Agensi
“Dua minggu lalu, pihak ISA menyuruh saya pulang ke negara sendiri.
“Anak-anak saya lahir di Jepun, hanya fasih berbahasa Jepun dan semua rakan mereka orang Jepun. Tetapi kami diminta pulang ke India. Apa yang patut saya lakukan?” katanya sambil menahan sebak.
Kes Kumar kini menjadi simbol kebimbangan komuniti usahawan asing kecil di Jepun selepas kerajaan negara itu memperkenalkan perubahan besar terhadap sistem visa pengurus perniagaan tahun lalu.
Menurut data rasmi, jumlah permohonan visa berkenaan menjunam sebanyak 96 peratus sejak syarat baharu dikuatkuasakan pada Oktober 2025.
Permohonan bulanan dilaporkan merosot daripada sekitar 1,700 kepada hanya kira-kira 70 permohonan sebulan.
Pihak berkuasa Jepun menjelaskan syarat lebih ketat itu diperkenalkan bagi menghalang penyalahgunaan visa sebagai jalan mudah mendapatkan kediaman jangka panjang tanpa menjalankan perniagaan sebenar.
Namun, pengkritik mendakwa ramai pengusaha kecil yang sah turut menjadi mangsa tindakan keras tersebut.

Manish Kumar yang menetap di Jepun selama 30 tahun dan mengusahakan restoran India di wilayah Saitama sejak 18 tahun lalu
Laporan Japan Times menyebut Jepun kini memperketat syarat kelayakan untuk usahawan asing mendapatkan visa pengurus perniagaan.
Antara perubahan utama ialah peningkatan syarat modal minimum daripada lima juta yen (kira-kira RM125,134) kepada 30 juta yen (sekitar RM750,917).
Peraturan baharu itu menyukarkan pemilik perniagaan kecil untuk memenuhi syarat ditetapkan.
Selain itu, pemohon kini diwajibkan menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan sepenuh masa, sedangkan sebelum ini pengambilan pekerja tidak diwajibkan sekiranya syarat modal dipenuhi.
Kerajaan Jepun turut memperkenalkan syarat penguasaan bahasa Jepun, sama ada oleh pemohon atau pekerja sepenuh masa mereka.
Pemohon juga perlu membuktikan pengalaman pengurusan atau memiliki kelayakan berkaitan perniagaan.
Dalam masa sama, pelan perniagaan kini perlu mendapat pengesahan profesional selain melalui semakan lebih ketat terhadap rekod cukai dan premis operasi.
Pejabat operasi di rumah juga dilaporkan tidak lagi diterima.
Walaupun kerajaan Jepun menegaskan reformasi itu penting untuk membendung penyalahgunaan sistem, ramai usahawan asing bimbang langkah tersebut akan menjejaskan perniagaan kecil yang sudah lama beroperasi di negara itu.-Agensi



