Ketiadaan Rafizi perkuat kembali dalaman PKR – Pengasas parti

Ketiadaan Rafizi perkuat kembali dalaman PKR – Pengasas parti
Ketiadaan Rafizi perkuat kembali dalaman PKR – Pengasas parti

Lum Yong (gambar kanan) berkata, pemergian Rafizi daripada PKR membuka ruang kepada parti itu untuk kembali fokus memperkukuh perpaduan dalaman dan agenda perjuangan asal parti.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam parti itu dilihat mampu memperkukuh kembali kestabilan dalaman PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, PKR dibina atas semangat reformasi dan perjuangan pelbagai kaum, bukannya bergantung kepada mana-mana individu tertentu.

Menurut beliau, sepanjang berada dalam parti, Rafizi bersama kelompok penyokongnya sering dilihat membawa pendekatan yang menyebabkan berlaku perpecahan serta ketegangan dalam kalangan pimpinan parti.

“PKR selama ini terpaksa berdepan dengan kelompok yang menganggap hanya mereka sahaja betul, manakala pihak lain dianggap salah.

“Memang tidak dinafikan Rafizi dan sekutunya mempunyai kekuatan dalam menyerang pihak lawan menerusi strategi politik tertentu, namun pendekatan sama turut dibawa ke dalam parti sehingga kadangkala menimbulkan masalah kepada kepimpinan atasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemergian Rafizi daripada PKR membuka ruang kepada parti itu untuk kembali fokus memperkukuh perpaduan dalaman dan agenda perjuangan asal parti.

Sebelum ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin dilaporkan menyifatkan manifesto Parti Bersama Malaysia yang dibentangkan Rafizi sebagai terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara.

Menurut Mashitah, 12 agenda yang diketengahkan itu kedengaran menarik di peringkat slogan, namun kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan pula berpandangan agenda 12 perkara yang dibawa Bersama dijangka mengundang penelitian lebih mendalam terhadap Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, pengundi dijangka menilai semula rekod serta prestasi kedua-dua pemimpin tersebut ketika berada dalam kerajaan antara tahun 2022 hingga 2025.

“Wujud risiko politik kerana banyak janji dalam manifesto Bersama menyentuh secara langsung bidang yang pernah berada di bawah pengaruh mereka ketika menjadi anggota pentadbiran kerajaan,” katanya.

 

 

Scroll to Top