Lelaki maut tersepit bawah kereta

Lelaki maut tersepit bawah kereta

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lelaki warga emas meninggal dunia tersepit di bawah kereta yang mengundur di hadapan rumah di Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 5.30 petang dengan mangsa berusia 67 tahun ditemui terperosok di bawah kenderaan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa meletakkan kereta itu di dalam garaj rumah.

“Pemandu kemudian dikatakan keluar dari kereta untuk menutup pagar rumah, namun kenderaan tiba-tiba mengundur sendiri dan melanggarnya.

“Pelanggaran mengakibatkan mangsa terjatuh dan tersepit di bawah kereta serta disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ibrahim berkata, mangsa disyaki tidak menarik brek tangan selepas meletakkan kereta itu di kawasan landai namun sedikit menurun ke arah pintu pagar.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03–6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 5.20 petang dan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati seorang lelaki dewasa tersepit dan berada di bawah kereta Proton Saga.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa kemudian segera dijalankan” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berjaya dibawa keluar tidak lama kemudian, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top