Wasiat terakhir Nabi SAW buat umat

Wasiat terakhir Nabi SAW buat umat

ZULHIJAH merupakan bulan yang mulia terutamanya pada 10 hari awalnya dan merupakan waktu paling disukai ALLAH SWT untuk beramal soleh.

“Dan salah satunya iaitu pada hari kesembilan Zulhijah yang disebut juga sebagai Hari Arafah, yang juga hari mustajab doa.

“Khutbah Wada’ diriwayatkan berlaku pada Hari Arafah, 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah. Dipetik dari kitab sirah Ibnu Hisham, Nabi Muhammad SAW memulakan khutbah dengan tanda-tanda pengakhiran dan perpisahan,” ujar khatib pada permulaan khutbah.

Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan dibacakan di seluruh negeri itu Jumaat lalu.

Dalam khutbah Wada’, Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak tahu, barang kali aku tidak akan bertemu kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini selama-lamanya.

Wahai manusia, sesungguhnya darah kamu dan harta kamu itu haram (tidak boleh dilanggar) ke atas kamu sehingga kamu bertemu Tuhan kamu, sebagaimana sucinya hari kamu ini dan sucinya bulan kamu ini.

Dan sesungguhnya kamu akan bertemu Tuhan kamu, lalu dia akan menyoal kamu tentang amalan kamu.

Sesungguhnya aku telah menyampaikan. Maka sesiapa yang mempunyai amanah, hendaklah dia menunaikannya kepada orang yang mempercayakannya.

Dan sesungguhnya segala riba dihapuskan, tetapi kamu berhak atas pokok harta kamu. Kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi. ALLAH telah menetapkan bahawa tiada riba dan riba Al-Abbas bin Abdul Muttalib dihapuskan seluruhnya.

Dan sesungguhnya segala tuntutan darah pada zaman jahiliah dihapuskan dan darah pertama yang aku hapuskan ialah darah anak Rabi’ah bin Al-Harith bin Abdul Muttalib.

Dia dahulu disusukan dalam kalangan Bani Laits, lalu dibunuh oleh Huzail. Maka itulah yang pertama aku mulakan daripada penghapusan darah jahiliah.

Adapun selepas itu, wahai manusia, sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk disembah di bumi kamu ini selama-lamanya.

Tetapi jika dia ditaati dalam perkara selain itu, maka dia reda dengannya daripada perkara-perkara kecil yang kamu anggap remeh. Maka berhati-hatilah terhadapnya demi agama kamu.

KHUTBAH Wada\' disampaikan Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah di Bukit Arafah. Foto Canva

KHUTBAH Wada\’ disampaikan Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah di Bukit Arafah. Foto Canva

Wahai manusia, sesungguhnya penangguhan bulan (nasi’a) itu merupakan penambahan dalam kekufuran, orang-orang kafir disesatkan dengannya.

Mereka menghalalkan pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka menyesuaikan bilangan apa yang ALLAH haramkan, lalu mereka menghalalkan apa yang ALLAH haramkan dan mengaramkan apa yang ALLAH halalkan.

Adapun selepas itu wahai manusia, sesungguhnya kamu mempunyai hak ke atas isteri-isteri kamu dan mereka juga mempunyai hak ke atas kamu.

Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci berada di tempat tidur kamu dan mereka tidak melakukan perbuatan keji yang nyata.

Jika mereka melakukannya, maka ALLAH mengizinkan kamu menjauhi mereka di tempat tidur dan mnemukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan.

Jika mereka berhenti, maka mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian secara baik.

Berpesanlah kamu tentang wanita dan kebaikan kerana mereka berada dalam tanggungan kamu dan tidak memiliki apa-apa untuk diri mereka.

Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah ALLAH dan kamu menghalalkan mereka dengan kalimah ALLAH.

Maka fahamilah kata-kataku wahai manusia. Sesungguhnya aku telah menyampaikan. Aku telah meninggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu ingin berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab ALLAH dan sunnah Nabi.

Wahai manusia, dengarlah kata-kataku dan fahamilah. Ketahuilah bahawa setiap Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain dan orang-orang Muslim itu bersaudara.

Maka tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu daripada saudaranya kecuali dengan keredaannya. Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri.” 

Pengajaran daripada khutbah Wada’:

Berdasarkan kepada khutbah Jumaat, JAIPk meringkaskan pesanan Nabi SAW kepada lapan perkara iaitu:

1. Kesucian darah, harta dan maruah

Islam sangat memelihara hak manusia. Oleh sebab itu, Islam meletakkan keamanan sebagai asas pembinaan masyarakat. Nyawa, harta benda dan kehormatan seseorang tidak boleh diceroboh. Membunuh, merompak, menipu, memfitnah dan mencemarkan nama baik itu dosa besar.

2. Bersifat amanah

Amanah ialah asas kepada kesempurnaan iman dan akhlak seseorang Muslim. Oleh itu umat Islam wajib menunaikan hak yang diamanahkan kepada ahlinya dengan jujur kerana mengabaikan tanggungjawab merupakan satu bentuk pengkhianatan.

3. Penghapusan amalan jahiliah dan riba

Ajaran Islam menghapuskan segala bentuk kezaliman, penindasan, taksub kepada kaum, adat yang bercanggah dengan syriat serta budaya yang merosakkan akhlak. Ada bentuk kezaliman yang dihapuskan oleh Islam ialah berbunuhan, membalas dendam dan amalan riba.

MEMULIAKAN wanita atau isteri termasuklah membantu mereka dalam kehidupan seharian. Foto Canva

MEMULIAKAN wanita atau isteri termasuklah membantu mereka dalam kehidupan seharian. Foto Canva

4. Waspada dengan gangguan syaitan dan kewajipan menjaga agama

Syaitan merupakan musuh utama manusia dan syaitan akan sentiasa cuba mempengaruhi manusia untuk melakukan kejahatan, permusuhan dan kemaksiatan yang akan menjerumuskan seseorang ke lembah kerosakan.

5. Larangan mengharamkan apa yang dihalalkan dan sebaliknya

Perkara halal dan haram merupakan hak ALLAH SWT. Islam satu-satunya agama yang menjaga fitrah kemanusiaan. Islam tidak akan menghalalkan perkara-perkara yang mendatangkan mudarat kepada manusia dan tidak pula mengharamkan perkara yang memberi kebaikan kepada manusia.

6. Kewajipan memuliakan wanita (isteri)

Isteri merupakan amanah ALLAH SWT dan DIA memerintahkan agar suami menggauli isteri dan memperlakukannya dengan baik serta menjaga hak-hak isteri.

7 . Berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah

Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW wajib dijadikan rujukan utama dan pegangan dalam mengurus kehidupan seharian.

8. Ukhuwah Islamiah

Persaudaraan sesama umat Islam wajib dipelihara dan ia merupakan asas utama yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit atau sempadan negara.

Scroll to Top