Lisbon: Cristiano Ronaldo mungkin sudah berusia 45 tahun ketika Portugal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 bersama Sepanyol dan Maghribi, namun pengendali Portugal, Roberto Martinez percaya legenda itu masih mampu beraksi di pentas terbesar dunia itu.
Martinez menegaskan tiada siapa sepatutnya meragui kemampuan Ronaldo untuk terus kekal kompetitif biarpun usia semakin meningkat.
“Tiada siapa patut meragui perkara itu (Ronaldo boleh bermain pada Piala Dunia 2030). Dia sudah membuktikannya,” kata Martinez.
Ronaldo yang membuat penampilan pertama bersama Portugal pada usia 18 tahun pada Ogos 2003 kini kekal sebagai pemain paling banyak beraksi dan penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya.
Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu sudah mengumpul 226 penampilan antarabangsa selain meledak 143 gol buat Portugal.
Kapten Portugal itu turut mencipta sejarah apabila membantu negaranya menjulang kejuaraan Euro 2016 selain membawa skuad itu menamatkan Piala Dunia 2006 di tempat keempat iaitu pencapaian terbaik Portugal sejak meraih tempat ketiga pada edisi 1966.
Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, Ronaldo sekali lagi mengukir sejarah apabila menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia berbeza selepas meledak menerusi sepakan penalti ketika menentang Ghana.
Ronaldo dan seteru utamanya, Lionel Messi dijangka mencipta sejarah baharu apabila bakal menjadi pemain pertama tampil dalam enam edisi Piala Dunia pada kejohanan musim panas ini.
Martinez mengakui mentaliti luar biasa dimiliki Ronaldo menjadi faktor utama yang membolehkannya terus kekal relevan di tahap tertinggi bola sepak dunia.
“Saya pernah bekerja dengan ramai pemain yang memenangi Liga Juara-Juara atau Ballon d’Or, tetapi keesokan harinya mereka sudah hilang motivasi.
“Tetapi Ronaldo mempunyai mentaliti yang berbeza. Saya percaya sasaran dan keinginan itu yang membolehkan dia bertahan lama.
“Sudah tentu ada faktor genetik, kerja keras, cara dia menjaga badan dan mentalitinya,” katanya.
Portugal yang diundi dalam Kumpulan K bagi edisi pertama Piala Dunia 48 pasukan akan membuka kempen menentang Republik Demokratik Congo di Houston pada 17 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




