am@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Arwah teringin sangat nak jadi ustaz kerana mahu menabur bakti di madrasah, namun Allah lebih menyayanginya,” kata Nur Adilah Selamat, 24.
Nur Adilah adalah kakak kepada Allahyarham Muhammad Alif, 19, adalah pelajar Madrasah Pondok Ibnu Yazid di Simpang Lima, Parit Sulong yang maut dalam nahas di Jalan Kangkar Senangar – Pagoh, dekat Parit Sulong, pagi tadi.
Nahas berlaku ketika Muhammad Alif dalam perjalanan pulang dari rumahnya di Felda Lenga, Pagoh ke madrasah terbabit selepas cuti perayaan Aidiladha berakhir.
Menurut Nur Adilah, hasrat itu dinyatakan arwah adiknya yang juga anak keempat daripada enam beradik beberapa hari lalu kerana mahu menabur khidmat dan bakti di tempat dia menuntut ilmu ketika ini.
“Tiada siapa sangka, Allah lebih menyayanginya. Hasrat adik saya tidak kesampaian dan kami reda atas ketentuan Ilahi,” katanya yang juga penuntut sarjana muda Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Bahasa Melayu.
Dalam pada itu Nur Adilah berkata, berita kemalangan diketahui lebih awal kerana video kamera papan pemuka (dashcam) sudah tersebar hingga mendapat pengetahuan pihak pengurusan madrasah.
“Adik saya belajar di madrasah itu sejak berusia 14 tahun. Sejurus video itu tersebar, ada seorang ketua blok asrama datang ke rumah memberitahu adik saya kemalangan.
“Waktu itu kami sedang berkumpul di rumah bersama ibu dan ayah (Siti Asmaran, 58, dan Selamat Ibrahim, 62,). Kedatangan mereka (ketua blok) mendebarkan kami kerana tidak mahu apa-apa terjadi buruk tapi semua ini kuasa Allah… Dia (Allah) lebih tahu.
“Kami terkejut dan terus bersiap untuk ke tempat kejadian. Sebaik tiba, kami lihat jenazah adik masih lagi berada di lokasi dan tidak lama kemudian, polis datang dan membawanya ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, nahas berlaku pada jam 8.30 pagi menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan patah kaki kanan.
Menurut Shahrulanuar, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal terbabit kemudian melanggar lori dan mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong.
“Pemandu lori berusia 30 tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
