am@hmetro.com.my
Tapah: Penelitian pasukan penyelamat terhadap cip kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih di sini, bagi memantau pergerakan Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak seminggu lalu mendapati wanita itu dipercayai bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda didapati melintasi kamera 1 sekitar jam 11.22 pagi 24 Mei (Ahad) iaitu hari pertama kehilangannya, dengan tiada rakaman menunjukkan wanita itu berpatah balik melintasi kamera berkenaan.
Sayani berkata, kamera yang sama turut merakam imej lapan anggota Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) melintasi kamera berkenaan pada jam 5.15 petang Isnin lalu iaitu keesokannya.
Katanya, justeru rakaman itu dapat menyokong hujah bahawa mangsa sememangnya bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air sebelum ini.
“Terdapat lagi dua simpang jalan selepas kamera 1 iaitu laluan ke Kem Sukaneka, laluan ke ‘water point’ (titik sumber air). Bagaimanapun laluan ke ‘water point’ sudah dihalang dengan laluan kayu bagi menandakan ianya bukan trek laluan.
“Justeru, rakaman kamera 1 dapat menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air yang ditemui oleh pasukan penyelamat dari awal pencarian bermula,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Kata Sayani, penelitian pada rakaman di kamera 2 iaitu laluan menuju ke Gunung Batu Bujang bagaimanapun mendapati tiada sebarang rakaman imej mangsa mahupun pasukan penyelamat melintasi kamera itu pada tarikh antara 24 Mei dan 25 Mei (Ahad dan Isnin).
Menurutnya, justeru laluan berkenaan iaitu menuju Gunung Batu Bujang disahkan tidak dilalui oleh Jaslinda.
Beliau berkata, dua anggota dari pasukan Pelindung, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama dua pegawai Jabatan Perhutanan dibawa menaiki pesawat AW139 ke Puncak Gunung Batu Putih untuk mengambil kad memori kamera pengawasan hidupan liar.
Dua cip dari dua unit kamera pengawasan itu berjaya diambil jam 10.15 pagi tadi dengan pasukan Pelindung PERHILITAN kembali dibawa pulang menaiki pesawat sama jam 1.15 tengah hari.
Sementara itu, Sayani berkata, terdapat seorang anggota JBPM mengalami kecederaan di paha, lutut dan buku lali sesudah menjalankan pencarian bermula semalam (Jumaat) membabitkan lokasi bermula di Kem Kantoi menuju alur air ke Sungai Ayer Busok.
Katanya, anggota terbabit menyusur sungai berkenaan sejauh satu kilometer (km) namun mendapati tiada sebarang tanda kawasan itu dimasuki oleh mangsa.
“Perjalanan seterusnya membuat pencarian di sekitar Simpang Ite dan berhenti di Puncak 2085. Pesawat AW139 sudah membawa keluar anggota yang cedera itu bersama tiga orang penyelamat dari kawasan itu menggunakan teknik ‘winching’.
“Terdapat lagi seramai 42 anggota penyelamat yang masih bergerak di dalam lokasi dan masih menjalankan operasi termasuk pasukan yang bergerak dari Pos Musoh,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penemuan botol air dan bungkusan jajan serta tapak kaki menjadi petunjuk dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda yang hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih pada 23 Mei lalu.
Berita berkaitan
• Pendaki hilang: Pasukan SAR ambil cip kamera pengawasan kesan Jaslinda
• ‘Hafiz ambil gambar akak dah sampai’ – Tulisan Jaslinda di puncak Gunung Batu Putih
• Bomba lancar operasi cari pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih
• Ops Gunung Batu Putih: Pendaki lelaki diselamatkan, bomba terus kesan Jaslinda
• Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda miliki 10 tahun pengalaman mendaki-Suami
• Jaslinda dipercayai tersasar ke Gunung Rayu, SAR bersambung esok
• Pasukan baharu lapan anggota diterbangkan untuk kesan Jaslinda di Gunung Batu Putih
• Kehilangan Jaslinda: Pasukan SAR jumpa tapak kaki, botol air, bungkusan ‘jajan’
• Kehilangan Jaslinda: Pasukan SAR jumpa tapak kaki, botol air, bungkusan ‘jajan’
• JBPM buka ‘winching point’ baharu dalam usaha mencari Jaslinda
• Kehilangan Jaslinda: Polis ambil keterangan 7 individu
© New Straits Times Press (M) Bhd
