Malaysia bangkitkan isu dwistandard undang-undang antarabangsa

Malaysia bangkitkan isu dwistandard undang-undang antarabangsa

Singapura: Malaysia membangkitkan kebimbangan mengenai apa yang disifatkan sebagai amalan dwistandard yang semakin meningkat dalam penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berucap pada sidang pleno keenam Dialog Shangri-La IISS ke-23 pada Ahad, menteri itu berkata pelanggaran undang-undang antarabangsa sering menerima reaksi yang tidak konsisten dan bersifat terpilih bergantung kepada pihak yang terlibat.

Beliau berkata undang-undang antarabangsa kerap dianggap sebagai sesuatu yang hanya wujud di atas kertas, dipatuhi secara ketat oleh negara majoriti global, namun ditafsir secara terpilih oleh kuasa besar apabila ia bersesuaian dengan kepentingan mereka.

Merujuk perkembangan di seluruh dunia, beliau berkata dwistandard yang sama turut dapat dilihat di peringkat global apabila genosid, jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan sering menerima reaksi terpilih bergantung kepada pihak yang terlibat.

“Institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan bagi mempertahankan kestabilan, multilateralisme dan undang-undang antarabangsa semakin lemah dalam berdepan persaingan geopolitik.

“Apabila negara membangun melanggar perjanjian, mereka berdepan kecaman dan tekanan, namun apabila negara berkuasa atau sekutunya melakukan perkara yang sama, respons antarabangsa menjadi begitu hambar,” katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Mengurus Ketegangan Serantau Dalam Persaingan Global” di Dialog Shangri-La, Singapura pada Ahad.

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia amat kesal dengan keputusan Norway membatalkan eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang diperuntukkan untuk Malaysia.

Beliau berkata senyap sunyi di sekeliling keputusan unilateral Norway itu amat ketara memandangkan hanya sedikit kebimbangan dibangkitkan berhubung integriti kontrak atau akauntabiliti.

Beliau menambah bahawa sikap membisu negara Barat menghantar mesej berbahaya bahawa sesetengah negara seolah-olah berada di luar penelitian.

“Tindakan Norway mewujudkan lebih daripada sekadar pertikaian kontrak dua hala.

“Ia menimbulkan persoalan yang amat membimbangkan sama ada perjanjian antarabangsa dan perkongsian strategik masih boleh dipercayai atau tidak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top