Rayuan taksiran cukai lebih mudah melalui portal MyTax – LHDN

Rayuan taksiran cukai lebih mudah melalui portal MyTax – LHDN

PETALING JAYA: Pembayar cukai boleh mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Rayuan Taksiran di portal MyTax di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, inisiatif itu sebagai penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan dengan menggantikan kaedah manual yang sebelum ini menggunakan dokumen fizikal yang memerlukan kehadiran ke pejabat.

“Melalui sistem ini, urusan rayuan kini boleh dilakukan secara lebih mudah, cepat dan tanpa sempadan masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kemudahan berkenaan tidak melibatkan kes cukai keuntungan modal, cukai pegangan serta taksiran yang dikeluarkan hasil aktiviti siasatan.

Antara kelebihan sistem itu ialah pembayar cukai boleh menghantar rayuan atau permohonan lanjutan masa pada bila-bila masa secara masa nyata selain menyemak status permohonan sepanjang proses pengendalian.

Pengguna juga akan menerima notifikasi seperti pengesahan penerimaan, penolakan serta kelulusan lanjutan masa terus melalui sistem dalam talian.

Dari segi akses, pembayar cukai individu boleh membuat permohonan menggunakan akaun MyTax masing-masing, manakala syarikat atau organisasi boleh berbuat demikian melalui pengarah, pegawai dilantik atau pentadbir organisasi seperti koperasi, badan amanah dan perkongsian liabiliti terhad (PLT).

Menurut LHDN, pendigitalan ini dijangka meningkatkan kecekapan dan memudahkan urusan pembayar cukai di seluruh negara. – UTUSAN

Scroll to Top