puterialia@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon Diana Danielle meluahkan rasa syukur apabila kesihatan anak sulungnya, Muhammad, 13, yang diserang penyakit saraf atau Bell’s Palsy kini menunjukkan perubahan semakin positif.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 35, berkata, keadaan fizikal anaknya dilihat semakin pulih dan hampir kembali kepada keadaan sedia kala.
“Alhamdulillah, dia okay. Saya boleh katakan sudah 95 peratus pulih. Masih ada sedikit peningkatan yang dia perlu usahakan.
“Bahagian hidung sekarang dia sudah boleh ‘scrunch up’ (gerakkan) dan senyuman dia pun memang nampak macam normal balik,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut mengenai proses pemulihan, Diana mengesahkan dia membawa Muhammad menjalani pemeriksaan doktor secara berkala demi memastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik.
“Alhamdulillah, saya boleh katakan semuanya berada pada keadaan yang positif. Itu juga antara sebab saya amat menitikberatkan aspek rehat dan pemakanan (nutrisi) mereka.
“Saya tidak mahu menyesal kalau terlalu sibuk bekerja sampai tidak tahu apa yang mereka makan,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penerimaan anak-anak apabila jadual seninya kembali padat dengan penggambaran filem, Diana tidak menafikan dua permata hatinya turut meluahkan rasa sedih.
Kongsi Diana, situasi itu berlaku memandangkan sebelum ini dia lebih banyak meluangkan masa dan mengutamakan urusan kerja dari rumah.
“Mereka sebenarnya sedih sebab beberapa tahun ini saya memang banyak beratkan kerja di rumah. Bagaimanapun, saya rasa kita kena seimbangkan semula perkara itu.
“Kerjaya utama saya masih lagi seorang pelakon. Jadi, apabila mahu menjayakan pelbagai kempen dan komitmen seni, ia perlulah bergerak seiring dan sejalan. Mereka pun faham,” kongsinya.
Terdahulu, Diana berkongsi Muhammad mengalami masalah saraf pada wajah atau lebih dikenali sebagai Bell’s Palsy selepas mengalami demam virus pada Februari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




