am@hmetro.com.my
Butterworth: Permintaan terhadap rawatan ortopedik di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan didorong oleh pertambahan kes kecederaan berkaitan aktiviti sukan membabitkan golongan muda dan warga emas.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, susulan itu terdapat keperluan penubuhan pusat rawatan khusus bagi yang mengalami masalah berkenaan di negeri ini.
Menurutnya, kecederaan berkaitan aktiviti sukan menjadi antara punca utama pesakit muda mendapatkan rawatan ortopedik, manakala golongan berusia pula lebih banyak berdepan masalah membabitkan lutut, pinggul dan sebagainya.
“Apa yang kita boleh lihat kes-kes ortopedik ini membabitkan dua kumpulan yang mana kategori muda banyak mendapatkan rawatan ini apabila mengalami kecederaan ketika bersukan.
“Bagi golongan warga emas pula, sudah tentu terdapat banyak masalah ortopedik seperti masalah lutut, pinggul dan sebagainya menjadikan permintaan terhadap rawatan ortopedik meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pembukaan Pusat Ortopedik Sunway Medical Centre di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, beliau memuji usaha pusat perubatan itu yang menawarkan pelbagai kepakaran rawatan bagi memenuhi keperluan pesakit daripada pelbagai peringkat usia.
“Kemudahan yang disediakan direka untuk menyediakan rawatan komprehensif merangkumi kecederaan sukan, pembedahan penggantian sendi, rawatan tulang belakang serta pelbagai masalah ortopedik lain.
“Ditambah pula dengan peningkatan jumlah penduduk di negeri ini yang semakin menua turut menjadi faktor penting yang menyumbang kepada pertambahan keperluan perkhidmatan ortopedik pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long berkata, perkhidmatan ortopedik turut menjadi antara bidang yang mendapat perhatian pesakit antarabangsa yang datang ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Selain ortopedik, hospital ini turut menerima pesakit bagi rawatan kanser, penyakit jantung dan neurologi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor pelancongan perubatan negeri.
“Perkembangan ini dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi utama pelancongan perubatan di Malaysia, khususnya dalam menyediakan rawatan pakar bertaraf antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




