Malaysia B-19 benam Singapura 3-0

Malaysia B-19 benam Singapura 3-0

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bawah 19 tahun (B-19) menewaskan Singapura 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN di Stadium Teladan, Medan, Indonesia, sebentar tadi.

Dalam aksi berkenaan, skuad kendalian Nafuzi Zain mempamerkan penguasaan sejak awal permainan dan berjaya membuka jaringan menerusi Arif Aiman Zaaba pada minit ke-21.

Seminit kemudian, Malaysia hampir menggandakan kelebihan, namun rembatan deras Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman sekadar menggegarkan tiang gol lawan.

Semangat tidak berputus asa skuad muda negara membuahkan hasil pada minit ke-39 apabila Abid Safaraz Rozaidi meledak gol kedua untuk Malaysia selesa 2-0 di hadapan.

Bersambung babak kedua, anak buah Nafuzi tidak mengendurkan asakan dan melancarkan asakan bertali arus ke kubu Singapura.

Hasilnya, Tengku Hasyri Berjaya meledak gol ketiga pada minit ke-69 selepas bijak melepasi kawalan pertahanan sebelum melepaskan rembatan lencong untuk menggegar jaring gol lawan.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata pertama dan kini menghuni tangga kedua Kumpulan B, berkongsi mata dengan Thailand yang sebelum itu membelasah Brunei 9-0.

Harimau Malaya B-19 akan meneruskan cabaran menentang Brunei, Jumaat ini sebelum aksi penentuan berdepan Thailand pada Isnin bagi memburu slot ke pusingan seterusnya.-UTUSAN

Scroll to Top