Harimau Muda mula garang di Medan

Harimau Muda mula garang di Medan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bawah 19 tahun (B-19) memulakan kempen Kejuaraan B-19 ASEAN dengan langkah kanan selepas membenam cabaran Singapura 3-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Teladan, Medan, Indonesia, sebentar tadi.

Anak buah Nafuzi Zain yang tampil lebih meyakinkan sejak wisel permulaan berjaya menguasai sebahagian besar permainan sebelum membuka jaringan menerusi Arif Aiman Zaaba pada minit ke-21.

Gol pembukaan itu hadir hasil sepakan sudut Arayyan Hakeem Norizam yang disudahkan kemas oleh Arif Aiman untuk meletakkan skuad negara di depan.

Seminit kemudian, Malaysia hampir menggandakan kelebihan apabila Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman memperoleh peluang terbaik, namun rembatan leretnya sekadar menggegarkan tiang gol lawan.

Walaupun terlepas peluang itu, Harimau Malaya B-19 terus mengasak dan berjaya menambah jaringan kedua menerusi Abid Safaraz Rozaidi pada minit ke-39.

Gol itu membolehkan skuad negara melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol sekali gus meletakkan Singapura dalam tekanan.

Bersambung babak kedua, Malaysia tidak mengendurkan rentak apabila terus menguasai permainan dan mencipta beberapa gerakan berbahaya ke kubu lawan.

Usaha berterusan itu membuahkan hasil pada minit ke-61 apabila Tengku Hasyri akhirnya menemui sentuhan gol selepas bijak melepasi kawalan pertahanan sebelum melepaskan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol Singapura, Ilhan Hady Mohamed Rezal.

Jaringan itu sekali gus meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-0 ketika perlawanan berbaki hampir setengah jam.

Singapura cuba bangkit dengan beberapa serangan balas selepas itu, namun benteng pertahanan negara kekal ampuh untuk memastikan gawang tidak dibolosi sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata pertama dan kini menghuni tangga kedua Kumpulan B, berkongsi mata dengan Thailand yang sebelum itu membelasah Brunei 9-0.

Harimau Malaya B-19 akan meneruskan cabaran menentang Brunei, Jumaat ini di Stadium Teladan sebelum aksi penentuan berdepan Thailand pada Isnin bagi memburu slot ke pusingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top