
Pegawai AS telah memberi isyarat terbuka untuk menempatkan pesawat berkeupayaan dwiperanan (DCA) ke lebih banyak negara anggota NATO.
ISTANBUL – Beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bahagian timur, termasuk Poland dan negara-negara Baltik, berkemungkinan menjadi sebahagian daripada rangka kerja perkongsian nuklear Amerika Syarikat (AS) yang diperluas di bawah perbincangan yang sedang berlangsung dalam perikatan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan The Financial Times pada Selasa.
Perbincangan itu, yang dilaporkan masih sulit dan mungkin tidak akan menghasilkan sebarang perubahan dasar, berlaku di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah mengenai masa depan komitmen ketenteraan AS di benua berkenaan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Menurut laporan itu, pegawai AS telah memberi isyarat terbuka untuk menempatkan pesawat berkeupayaan dwiperanan (DCA) ke lebih banyak negara anggota NATO, selain daripada enam negara yang kini menyertai program perkongsian nuklear perikatan itu iaitu Belgium, Jerman, Itali, Belanda, Turkiye dan United Kingdom (UK).
Langkah berkenaan berpotensi membolehkan lebih banyak negara sekutu menempatkan pesawat yang mampu membawa senjata nuklear AS sebagai sebahagian daripada pendekatan pencegahan NATO.
Negara-negara di bahagian timur NATO, termasuk Poland dan beberapa negara Baltik, telah menyatakan minat untuk menempatkan pangkalan DCA, kata laporan itu.
Poland merupakan antara penyokong kuat bagi kehadiran nuklear AS yang lebih besar di Eropah Timur.
Bekas Presiden Andrzej Duda sebelum ini pernah meminta Washington untuk memperluas perjanjian perkongsian nuklear ke wilayah Poland. –Bernama-Anadolu



