puterialia@hmetro.com.my
MULA berjinak-jinak dalam dunia perfileman sejak 1995, pelakon yang dikenali melalui filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini menegaskan tiada istilah berhenti berlakon dalam kamus hidupnya.
Menyifatkan bidang lakonan adalah sebahagian daripada hidupnya, Shaheizy Sam mengakui jiwa seninya pasti rindu sekiranya terlalu lama tidak menjejakkan kaki ke set penggambaran.
“Kalau nak kata berhenti berlakon itu tidak, sebab bidang ini sudah menjadi minat utama saya.
“Kalau saya berhenti dalam tempoh lima atau enam bulan sekali pun, saya akan mula rasa rindu. Kebanyakan pelakon pasti akan merasai perasaan sama,” katanya.
Shaheizy berkata demikian ketika ditemui semasa penggambaran filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir di Wisma Ali Bawal 2, di sini, baru-baru ini.
Selain memburu naskhah yang belum pernah dijayakan demi kepuasan diri, Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, meletakkan kriteria seseorang pengarah serta tenaga kerja di belakang tabir sebagai syarat paling utama sebelum menerima sesebuah tawaran.
Menurut Sam, kehebatan sesebuah karya filem itu sebenarnya bukan terletak pada bahu pelakon semata-mata, sebaliknya dicorakkan oleh pengarah.
“Mungkin sekarang saya lebih kepada mencari skrip yang saya tidak pernah bawa sebelum ini, jadi sekurang-kurangnya saya boleh ‘enjoy’ (menikmati) watak itu.
“Skrip itu satu hal, tetapi tenaga pekerja yang terbabit dalam pembikinan sesebuah filem itu sebenarnya jauh lebih penting untuk saya sekarang.
“Hebat macam mana sekalipun filem itu, kekuatan sebenarnya bukan pada pelakon, tetapi pengarah itu sendiri,” katanya.
Katanya, reputasi dan kredibiliti seseorang pengarah mampu menjadi penentu sama ada dia akan memberikan persetujuan atau sebaliknya untuk terbabit dalam sesebuah projek.
“Pengarah yang akan mengawal setiap perkara, daripada aspek lakonan, jalan cerita, visual sehingga kepada kesan khas.
“Peratusan untuk saya buat sesebuah filem itu bergantung kepada siapa pengarahnya. Kalau pengarah itu bagus, 50 peratus sebelah kaki saya sudah masuk (setuju) dan selebihnya baru saya akan lihat pada skrip,” katanya.
Bagaimanapun, Sam menyangkal tanggapan bahawa dia menutup pintu atau menyukarkan pengarah dan pasukan baharu yang berhasrat untuk melamar dirinya membintangi naskhah mereka.
“Biasanya mereka (pengarah dan pasukan baharu) akan tunjukkan hasil kerja yang pernah dilakukan sebelum ini. Jadi, dari situ saya boleh menilai keupayaan dan cara kerja mereka,” katanya.
Ditanya sama ada dia pernah menolak tawaran daripada pengarah, Sam menegaskan keputusan itu diambil bukan kerana dia sengaja menolak, sebaliknya mempunyai kekangan masa.
“Kalau sebelum ini saya tidak dapat bekerjasama dengan sesetengah pihak, ia sebenarnya lebih kepada faktor masa, sama ada saya akan berhenti berlakon atau tidak? Jawapannya tidak sebab rindu (berlakon) itu sentiasa datang.
“Cuma bezanya sekarang, saya sudah pelbagaikan bidang kerja. Saya juga sibuk berniaga dan membina restoran sendiri. Sejak kecil saya meminati bidang F&B,” kongsinya.
Bapa tiga cahaya mata ini turut mengakui fokus utamanya kini perlu diberikan sepenuhnya terhadap perniagaan restoran terbaharunya.
“Buat masa ini, fokus dan hati saya kena letak dekat restoran ini dahulu, kena betul-betul fokus.
“Tetapi, sekiranya ada ruang waktu sesuai, ditambah pula dengan skrip bagus, pengarah mantap serta barisan pelakon dan tenaga kerja hebat, saya pasti akan cari jalan juga untuk buat (terima) projek terbabit,” kongsinya lagi.
Selepas sekian lama berehat daripada naskhah aksi dan lebih selesa memilih karakter ringan, Sam berkata, dia hampir menolak untuk berlakon naskhah bergenre aksi atas faktor peningkatan usia.
Meskipun begitu, tawaran daripada penerbit, Yusry Makmor serta peluang bekerja di bawah arahan pengarah terkenal, Faisal Ishak melenturkan ego pelakon itu untuk kembali beraksi dalam filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir.
Sam turut berkongsi, fasa transisi fizikalnya bermula apabila dia mengambil masa tujuh bulan bagi membentuk badan dan mendalami watak dalam filem Badak sebelum mengambil masa lima bulan untuk menurunkan semula berat badannya.
“Selepas lima bulan itu, saya sebenarnya sudah bersedia untuk watak akan datang. Tetapi, apabila usia semakin meningkat, timbul rasa ‘malas’ untuk buat filem aksi. Saya lebih suka layan naskhah seperti drama.
“Sebagai pelakon, kita tentu ada favoritisme (sikap pilih kasih) dari segi skrip. Namun, rezeki datang apabila abang Yusry menawarkan projek ini. Watak dan jalan ceritanya sangat berbeza dengan apa yang pernah saya buat sebelum ini, malah jauh berbeza daripada filem Polis Evo,” katanya.
Menurut Sam, kredibiliti Faisal yang melonjakkan nama pelakon menerusi fenomena drama rantaian Juvana suatu ketika dahulu menjadi antara faktor utama dia menerima naskhah ini.
“Yusry berjaya menjual nama pengarah yang dari dulu lagi saya mahu bekerjasama iaitu Faisal. Kita semua tahu bagaimana impak drama Juvana dahulu sehingga nama pelakonnya sinonim dengan naskhah itu.
“Dulu saya tidak pernah ada rezeki bekerja dengannya. Jadi, apabila nama Faisal dipetik, keterujaan saya terus melonjak 100 peratus.
“Ini bukan sekadar filem aksi pukul-memukul, kemudian habis. Perjalanan watak ini membawa emosi sangat ‘roller coaster’. Ia tentang perjuangan sahabat dan keluarga. Meskipun berlatarbelakangkan futuristik, namun akar emosinya sangat dekat dengan kita semua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
