Hawra bawa buku ke set penggambaran, enggan ketinggalan pelajaran

Hawra bawa buku ke set penggambaran, enggan ketinggalan pelajaran

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon cilik Sharifah Fathimah Hawra Syed Ahmad, 11, menganggap kesibukan dalam dunia lakonan bukan alasan untuk mengabaikan pelajaran apabila dia sentiasa membawa buku sekolah ke lokasi penggambaran bagi memastikan akademiknya tidak tercicir.

Menurut Hawra, dia sudah terbiasa mengulang kaji pelajaran ketika berada di set penggambaran kerana tidak mahu ketinggalan, terutama dalam subjek Matematik yang dianggap memerlukan tumpuan berterusan.

“Kalau pergi set memang saya akan bawa buku juga sebab tak nak terlepas pelajaran.

“Terutama Matematik sebab kalau kita tertinggal sedikit, susah nak kejar semula. Jadi bila ada masa lapang di set, saya akan ulang kaji,” katanya.

Pelakon yang pernah membintangi filem Banduan itu berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan media ke set penggambaran filem aksi neo-noir Cobra 7: Peluru Terakhir baru-baru ini.

Dalam filem berkenaan, Hawra membawakan watak Alya, seorang kanak-kanak yang kelihatan ceria, peramah dan sentiasa gembira, namun menyimpan rahsia besar apabila menghidap penyakit kronik yang boleh mengancam nyawanya.

Menurutnya, watak itu memberi cabaran tersendiri kerana dia perlu menampilkan emosi berbeza sepanjang penceritaan.

“Alya anak tunggal kepada Julia dan Nadim. Pada mata kasar dia seorang budak yang sangat ceria, baik dan ramah. Tapi di sebaliknya dia ada penyakit kronik yang boleh membawa maut dan boleh datang bila-bila masa,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman di lokasi penggambaran, Hawra mengakui masih berdepan perasaan gemuruh setiap kali berada di hadapan kamera walaupun sudah mempunyai pengalaman berlakon sebelum ini.

“Setiap kali nak berlakon mesti ada rasa gementar juga sebab takut nampak kaku.

“Tapi bila berlakon dengan pelakon yang baik dan ramah, saya rasa lebih selesa dan senang untuk membawakan watak,” katanya.

Selain Hawra, filem yang diarahkan oleh Faisal Ishak turut dibintangi Shaheizy Sam, Zahiril Adzim, Diana Danielle, Ahirine Ahirudin, Amar Baharin, Hanna Aqeela, Ayez Shaukat dan Fauzi Nawawi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top