am@hmetro.com.my
Seremban: Sidang media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sepatutnya diadakan di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, jam 1.30 tengah hari ini, dibatalkan berikutan beliau dikatakan mempunyai urusan rasmi lain.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah kepada media yang sedia menunggu di Wisma Negeri.
“Sidang media Menteri Besar yang dijadualkan pada jam 1.30 petang ini ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
“YAB Menteri Besar mempunyai urusan penting,” katanya ketika ditemui.
Beliau memaklumkan Aminuddin telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bermula jam 11 pagi tadi dan selesai sekitar jam 12.30 tengah hari.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini, selama lebih satu jam pagi tadi.
Turut mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Walaupun menjadi rutin Menteri Besar menghadapi Tuanku Muhriz, namun kali ini ia menarik perhatian pengamal media susulan dakwaan mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
Situasi itu diperkuatkan lagi dengan tindakan Aminuddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, pagi semalam, yang memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




