Selepas kecoh di media sosial gara-gara majlis hari jadi bertemakan bunian dan hantu, pengasas produk dari Kelantan, Farhana Zahra tampil berkongsi perkembangan terbaharu berhubung isu tersebut.
BACA: Founder Kelantan Habis Setengah Juta Untuk Hari Jadi Anak, Buat Tema Perkampungan Bunian
Menerusi hantaran di Facebook, Farhana atau lebih dikenali sebagai Cikna memaklumkan dia sudah selesai memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) pada jam 1 tengah hari semalam.
Cikna hadir beri keterangan di JAHEIK
Menurut Cikna, dia telah menceritakan keseluruhan perjalanan majlis itu kepada pihak JAHEIK untuk dinilai.
Cikna turut menghargai pendekatan pihak JAHEIK yang memanggilnya untuk siasatan terlebih dahulu tanpa terus membuat penilaian hanya berdasarkan video yang tular.

Dalam perkongsian sama, Cikna berkata pihak JAHEIK turut bertanya sama ada dia ingin bertemu Mufti Kelantan bagi mendapatkan nasihat dan pandangan.
Katanya, dia bersetuju untuk berbuat demikian namun pertemuan tersebut belum dapat diadakan kerana Mufti Kelantan dikatakan kurang sihat.
Dalam masa sama, Cikna turut menegur tindakan segelintir pihak yang terus menghukum dan menghina dirinya susulan isu tersebut.
Jelasnya, dia sendiri tidak menyangka perkara itu boleh menjadi isu kerana sebelum ini tema rumah hantu dan bunian pernah dilihat dalam beberapa acara lain.
Kalau perkara ni Cikna tak buat, kita pun tak tahu perkara Cikna buat boleh jadi salah. Anggap la ni satu pelajaran untuk kita semua, Cikna yakin ramai yang tak tahu, jadi bila perkara ni berlaku sama-sama kita belajar.
Cikna turut menjelaskan bahawa dia sebelum ini tidak pernah mendengar isu mengenai rumah hantu dianggap salah, selain mendakwa tema seperti itu pernah dibuat di sekolah dan ekspo.

Bagaimanapun, dia melihat apa yang berlaku sebagai satu ruang untuk semua pihak belajar dan memperbaiki perkara yang mungkin sudah terbiasa dilakukan sebelum ini.
Walaupun menerima kecaman, Cikna berkata dia memaafkan semua pihak yang menghina dirinya.
Di akhir perkongsian, Cikna memaklumkan orang ramai kini hanya perlu menunggu hasil siasatan daripada pihak JAHEIK.
Pssttt! Apa yang penting, perkara ini boleh dijadikan pengajaran bersama agar lebih berhati-hati dalam memilih tema atau konsep sesuatu majlis. Teguran itu perlu, tetapi biarlah dengan cara yang beradab dan tidak sampai menghina sesama manusia.
Kredit: Utusan Malaysia | Facebook Farhana Zahra
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




