3 lagi ditahan termasuk anggota kanan yakuza berhubung kes curi RM10.5 juta di Tokyo

3 lagi ditahan termasuk anggota kanan yakuza berhubung kes curi RM10.5 juta di Tokyo

Tokyo: Seorang anggota kanan yakuza dan dua individu lain ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian wang tunai kira-kira 423 juta yen (AS$2.6 juta atau RM10.5 juta) di jalan di daerah Ueno, Tokyo pada Januari, kata polis pada Rabu, lapor Kyodo News.

Lima individu sebelum ini telah didakwa berhubung kes itu.

Polis tidak mendedahkan sama ada suspek mengaku terhadap dakwaan berkenaan.

Menurut polis, wang tunai kira-kira 3.6 juta yen yang dipercayai sebahagian daripada hasil curi ditemukan di rumah mereka dan beberapa lokasi lain.

Penyiasat percaya mangsa kecurian itu bercadang menggunakan wang tunai berkenaan untuk membeli emas di Hong Kong.

Polis sedang menyiasat kemungkinan kaitan antara kes kecurian itu dengan dua kes hampir sama yang berlaku selepas itu, iaitu cubaan rompakan di kawasan parkir di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo dan satu kes kecurian di Hong Kong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top