Remaja ditemukan mati lemas di Air Terjun Chemerong

Remaja ditemukan mati lemas di Air Terjun Chemerong

DUNGUN: Seorang penuntut Institut KT Skill mati lemas ketika mandi di Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun di sini, bersama beberapa rakannya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Wan Shafuan Irfan Wan Harun, 19, dikatakan kelihatan tergapai-gapai di dalam air dan beberapa rakannya yang menyedari kejadian berkenaan cuba membantu menyelamatkannya.

Usaha itu bagaimanapun gagal sebelum mereka meminta bantuan pengunjung yang berada di lokasi kejadian dan menemukan mayat mangsa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Pegawai Bomba Kanan II Osman Abdullah berkata, enam anggota bomba ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.49 petang.

“Sebaik sahaja tiba, kami dapati mangsa ditemukan oleh orang awam dan anggota kami kemudian membawa mayat naik ke darat sebelum menghubungi pasukan perubatan bagi mengesahkan kematian mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.  – UTUSAN

Scroll to Top