Langkah strategik Nurrifa kukuhkan kredibiliti, jenama

Langkah strategik Nurrifa kukuhkan kredibiliti, jenama

PENGELUAR produk berasaskan herba inovatif, Nurrifa, menyasarkan untuk meletakkan jenamanya setanding dengan nama-nama besar di pasaran Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

​Bagi merealisasikan visi tersebut, syarikat yang kini beroperasi di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) di Kuala Terengganu itu sedang rancak memperkukuh sistem dalaman, struktur organisasi, dan pengurusan kakitangan, selain dalam proses menembusi rangkaian farmasi serta drugstore terkemuka seperti Watsons.

​Pengarah Urusannya, Nur Fadhilah Muhammad Puzi, 36, berkata, langkah meluaskan pasaran itu merupakan sebahagian daripada strategi serantau syarikat selepas berjaya membina tapak kukuh dalam segmen jualan dalam talian di seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak serta menerima permintaan dari Brunei dan Singapura.

Mengimbas kembali perjalanan awalnya, Nur Fadhilah atau lebih mesra disapa Puan Dilla Puzi berkata, keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang kesihatan menjadi titik permulaan buat beliau meneroka dunia perniagaan secara lebih serius, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

​”Sebelum berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Serdang pada tahun 2013, saya pernah bertugas selama tiga tahun sebagai guru kaunseling dan kesihatan di Maahad Tahfiz Tok Jiring.

​”Apabila suami yang bertugas di AADK terpaksa menjalani pembedahan di KTS (Kuala Terengganu Specialist), ditambah pula dengan cabaran hubungan jarak jauh (PJJ), saya nekad meletak jawatan.

“Bermula secara kecil-kecilan dalam dunia perniagaan digital, Nur Fadhilah perlahan-lahan membina pengalaman dalam bidang jualan dan pemasaran sebelum mengambil langkah lebih serius menghasilkan produk jenamanya sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Berbekalkan simpanan sendiri dan minat yang mendalam terhadap dunia kesihatan serta herba, beliau mula membangunkan produk pertama menerusi kerjasama bersama kilang OEM pada tahun 2017.

Produk sulungnya mendapat sambutan positif daripada pengguna, sekali gus menjadi titik permulaan kepada perkembangan jenama Nurrifa sehingga dikenali hari ini.

Menurut beliau, idea menghasilkan produk berasaskan herba tercetus daripada pengalaman peribadi sebagai wanita dan ibu, selain pemerhatiannya terhadap gaya hidup wanita moden yang mahukan solusi lebih mudah, praktikal dan selesa diamalkan setiap hari.

Antara produk keluaran Nurrifa iaitu Seeri, Seegak dan Vit C yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

Antara produk keluaran Nurrifa iaitu Seeri, Seegak dan Vit C yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

Daripada situ lahirnya ilham untuk memformulasikan jamu dalam bentuk pastil iaitu satu pendekatan lebih moden dan mesra pengguna tanpa menghilangkan nilai herba tradisional.

​Kini, Nurrifa tampil kukuh di pasaran dengan menawarkan lima rangkaian produk utama iaitu jamu dalam bentuk gummy di bawah jenama Seeri, Segak, Vit C, Kopi Segak, serta Compact Powder.

​Menurut Nur Fadhilah, produk ciptaannya terutamanya Seeri, menggunakan ramuan herba premium terpilih seperti halia Bentong, manjakani, serapat, arabic gum, dan garam bukit bagi memastikan pengguna mendapat khasiat terbaik untuk kesihatan dalaman.

​Bagi menjamin keselamatan dan membina kepercayaan pengguna, beliau menegaskan bahawa kesemua rangkaian produk keluaran Nurrifa telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta memiliki sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah katanya, standard pengeluarannya turut diperkukuh dengan pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP), Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), serta anugerah penarafan global, Superbrands.

Kukuhkan Nurrifa

Nur Fadhilah berkata, kualiti dan inovasi yang dibawakan oleh Nurrifa akhirnya mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Anugerah Inovasi Herba di pentas berprestij Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) baru-baru ini.

​Mengulas mengenai kemenangan itu, Nur Fadhilah melahirkan rasa syukur dan menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu lonjakan besar untuk memperkukuh kredibiliti jenama Nurrifa di mata pengguna.

​”Sejujurnya saya berasa segan kerana majlis itu turut dihadiri oleh nama-nama besar industri. Pengiktirafan ini sangat penting sebagai salah satu cabang pemasaran untuk membina kepercayaan pelanggan.

​”Kemenangan bermakna ini saya dedikasikan sepenuhnya kepada ‘tulang belakang’ perniagaan saya iaitu suami, yang tanpa keredhaannya saya tidak akan berada di tahap ini.

“Tidak lupa juga kepada 18 kakitangan pasukan kreatif dan operasi Nurrifa, serta para pelanggan setia yang sentiasa menyokong setiap produk yang kami pasarkan,” ujarnya sambil menambah syarikat memegang teguh tagline ‘Nurrifa Perjuangan Demi Kebahagiaan’.

Berkongsi dengan masyarakat

​Sementara itu, Nur Fadhilah berkata, kerjasama strategik bersama Newsfeed Media Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan capaian jenama Nurrifa melalui pendekatan pemasaran digital yang lebih tersusun dan berimpak.

Menurut beliau, dalam era pemasaran digital yang semakin kompetitif, sesebuah jenama bukan sahaja perlu agresif berkembang, tetapi juga perlu menjaga nilai, integriti dan kepercayaan pengguna.”

Beliau percaya, kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya diukur melalui angka jualan semata-mata, tetapi bagaimana sesuatu jenama mampu memberi manfaat dan impak positif kepada masyarakat.”

“Bagi saya, pemasaran bukan sekadar menjual produk. Ia tentang membina kepercayaan, mendidik masyarakat dan meninggalkan legasi yang baik melalui sesuatu jenama,” katanya.

​Berpegang kepada prinsip bahawa rezeki perlu dikongsi bersama, Nurrifa turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha memberi manfaat kembali kepada masyarakat.

Antara inisiatif yang dijalankan termasuk sumbangan kepada golongan asnaf, rumah anak yatim, institusi pendidikan agama serta program bantuan komuniti melalui kerjasama bersama beberapa organisasi tempatan.

 

Mesti Baca

Artikel Disyorkan

Scroll to Top