am@hmetro.com.my
Foto Aziah Azmee
Kuala Lumpur: Penyanyi, Iman Troye, 23, bakal tampil dengan album digital berkonsepkan pop etnik yang memuatkan beberapa lagu baharu berinspirasikan elemen tradisional Melayu dalam masa terdekat.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin berkata, album itu menjadi kesinambungan kepada identiti muzik yang pernah diketengahkannya menerusi lagu Nang yang mendapat sambutan baik daripada peminat.
Menurutnya, karya baharu yang sedang dihasilkan bukan sekadar menampilkan melodi tradisional, malah turut membawa mesej dan nilai yang dekat dengan masyarakat.
“Saya akan keluarkan album etnik yang mengandungi beberapa lagu dalam masa terdekat, insya-Allah.
“Kalau sebelum ini saya membawa lagu Nang dengan karakter Puteri Gunung Banang, tapi untuk karya seterusnya saya tidak lagi menggunakan watak puteri dari Tanah Melayu.
“Bagaimanapun, setiap lagu tetap membawa pesanan tersendiri dan pada masa sama menggunakan melodi yang diinspirasikan daripada lagu-lagu tradisional Melayu,” katanya.
Iman berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran Showcase Spotlight KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Penyanyi lagu Teman itu berkata, dia percaya muzik berteraskan budaya Melayu masih mempunyai tempat dalam industri dan mampu diterima generasi muda sekiranya dipersembahkan dengan pendekatan lebih segar.
Menurutnya, usaha menghasilkan karya pop etnik juga menjadi salah satu caranya untuk memperkenalkan semula keindahan muzik tradisional kepada pendengar masa kini.
“Saya rasa muzik tradisional Melayu mempunyai keunikan tersendiri dan masih relevan untuk diketengahkan.
“Sebab itu saya mahu terus meneroka genre ini dan menggabungkannya dengan elemen muzik moden supaya lebih dekat dengan pendengar sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




