Feast janji gegar pada konsert dua malam berturut-turut

Feast janji gegar pada konsert dua malam berturut-turut

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Demam rock alternatif Indonesia bakal melanda ibu kota apabila kumpulan Feast bersedia menggegarkan peminat tempatan menerusi konsert solo sulung mereka bermula malam ini.

Tampil mempertaruhkan ‘Pertunjukan Membangun & Menghancurkan’, konsert yang dinanti-nantikan dijadualkan berlangsung selama dua malam berturut-turut, iaitu hari ini dan esok.

Lebih istimewa, siri persembahan hebat yang bakal menggegarkan ZEPP Kuala Lumpur itu dipilih sebagai destinasi penutup tirai bagi jelajah album ketiga mereka.

Album yang membawa judul sama, Membangun & Menghancurkan sebelum ini sudah dilancarkan pada 2024.

Berkongsi rasa teruja, pemain bass Fadli Fikriawan mendedahkan Malaysia sentiasa mendapat tempat sangat istimewa di hati mereka.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melihat sokongan padu dan luar biasa yang tidak pernah putus daripada peminat di negara ini.

“Kita boleh anggap Malaysia sebagai rumah kedua, atau mungkin rumah ketiga selepas Surabaya.

“Setiap kali datang ke sini, kami anggap ia seperti persembahan di tempat sendiri kerana suasananya memang terasa seperti di rumah,” katanya pada sidang media konsert berkenaan Citizen M, di sini, hari ini.

Menghargai jasa peminat, Fadli menyifatkan komuniti peminat tempatan yang menggelarkan diri mereka sebagai Kelelawar Malaysia adalah antara tonggak utama kekuatan muzik Feast.

Komuniti tegar itu diakui sentiasa aktif menggerakkan pelbagai aktiviti, sekali gus membuktikan semangat setiakawan sangat utuh demi memperjuangkan muzik idola mereka.

“Antara komuniti peminat terbesar dan paling aktif yang kami miliki adalah di sini, iaitu komuniti Kelelawar Malaysia.

“Walaupun peminat kami di Jakarta juga ramai, Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, adalah antara lokasi yang mempunyai kelompok peminat terbesar.

“Sebab itu kami memilih untuk menutup era Membangun dan Menghancurkan menerusi konsert di Malaysia. Kami juga ada kejutan untuk peminat di sini, tetapi buat masa ini masih dirahsiakan,” katanya.

Sementara itu, vokalis Baskara Putra mengakui tugasan mengendalikan konsert selama dua malam berturut-turut memberikan tamparan serta cabaran tersendiri buat mereka.

Katanya, mereka perlu memerah otak bagi memastikan momentum kedua-dua malam persembahan itu kekal segar, bertenaga dan memberikan impak berbeza kepada penonton.

“Kerana kami mempunyai dua hari dan dua persembahan, itu sendiri sudah menjadi satu cabaran untuk menyusun segala perancangan.

“Kami juga perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan persembahan kedua kekal segar dan berbeza.

“Sama seperti pendekatan yang kami lakukan di Jakarta dan Surabaya, persembahan di Kuala Lumpur juga akan mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.

Di sebalik kejayaan album Membangun dan Menghancurkan, Baskara membuka ‘pekung’ apabila mendedahkan karya berkenaan sebenarnya tercipta ketika hubungan mereka sedang bergolak.

Malah, konflik dalaman yang berlaku hampir memusnahkan impian kumpulan yang ditubuhkan sejak 2013 ini apabila mereka pernah terfikir untuk membawa haluan masing-masing.

“Ketika itu, kami sebenarnya menyangka album ini akan menjadi album terakhir sebelum kami berpisah. Kami hampir membubarkan kumpulan.

“Pada waktu itu, memang sudah tiada lagi keserasian antara kami. Selepas 12 tahun bersama, keserasian itu seolah-olah hilang.

“Malah, saya rasa tempoh yang panjang bersama-sama itu sedikit sebanyak memburukkan lagi keadaan ketika itu,” kongsinya.

Selain Fadli dan Baskara, band yang cukup terkenal dengan lirik tajam serta kritikan sosial yang sinis ini turut dianggotai oleh Adnan Satyanugraha (gitaris) dan Dicky Renanda (gitaris).

Pertunjukan Membangun & Menghancurkan kali ini bakal berpaksikan kepada naskhah album ketiga mereka yang sarat dengan 15 lagu yang merakamkan memori indahnya tersendiri.

Untuk rekod, album Membangun & Menghancurkan ini pernah dinobatkan sebagai Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2025 yang lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top