‘Langkah terdesak cemarkan imej persatuan kriket’

‘Langkah terdesak cemarkan imej persatuan kriket’
‘Langkah terdesak cemarkan imej persatuan kriket’

Persatuan Kriket Malaysia (MCA).

PENERBITAN artikel di portal berita setiap kali menjelang prosiding mahkamah dikenal pasti antara modus operandi segelintir pihak yang tewas dalam pemilihan untuk memburukkan kepimpinan Persatuan Kriket Malaysia (MCA).

Artikel berkenaan dikeluarkan di sebuah “portal berita pilihan” oleh penulis tertentu yang bukan sahaja memburukkan kepimpinan MCA, malah dilihat cuba mempengaruhi mahkamah.

Prosiding mahkamah yang dimaksudkan berhubung pertikaian antara persatuan itu dengan bekas pemimpin MCA sebelum ini yang masih lagi berjalan di mahkamah.

Menurut seorang jawatankuasa MCA yang enggan namanya didedahkan berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa individu memainkan peranan bagi menjayakan agenda jahat itu.

Beliau mengambil contoh prosiding mahkamah yang berlangsung pada 24 Nov 2025, di mana beberapa artikel bagi “menyerang” MCA dikeluarkan sehinggalah pada 23 Mac.

Begitu juga dengan prosiding mahkamah pada 3 Feb 2026, beberapa hari sebelum itu artikel disiarkan di portal berkenaan sehingga 1 Feb bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap bandan induk berkenaan.

“Perkara ini berterusan, kita melihat ini satu trend di mana setiap kali menjelang prosiding mahkamah, beberapa hari sebelum mahkamah bersidang akan ada artikel disiarkan di portal berita untuk mencetuskan polemik dan menimbulkan persepsi negatif terhadap persatuan.

“Mereka seterusnya konsisten ‘menyerang’ persatuan untuk beberapa hari, kemudiannya menjelang prosiding mahkamah seterusnya timbul pula artikel baharu.

“Kita tahu sebenarnya siapa dalangnya, apa agendanya dan siapa penulisnya,” katanya pada Jumaat.

Jelasnya, perbuatan sebegini adalah tidak bagus dan tidak baik kepada persatuan yang sedang mengangkat nama negara dalam sukan ini.

Tambahnya, agenda yang digerakkan oleh segelintir mereka yang tewas dalam pemilihan itu dipercayai mempunyai kepentingan tertentu.

“Bila tiada prosiding mahkamah buat masa ini, tiada artikel bagi mempersoalkan MCA keluar. Kita tunggu dan lihat hujung bulan ini menjelang prosiding mahkamah.

“Kita dapati ada beberapa pemimpin persatuan negeri yang terlibat dengan agenda ini. Mereka lah yang menyalurkan maklumat mendedahkan hal dalaman persatuan kepada bekas pemimpin persatuan sebelum ini bagi menjayakan agenda melemahkan kepimpinan MCA kini,” tambahnya.

Katanya, persatuan itu tidak sesekali goyah dengan taktik pihak berkenaan untuk memberi gambaran buruk terhadap persatuan.

Mesti Baca

Scroll to Top