nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dibesarkan oleh pengasuh berketurunan Melayu mendorong seorang guru, Zhang Hao, 29, untuk memilih mengamalkan gaya hidup seperti individu Muslim.
Menceritakan kisahnya, Zhang berkata, meskipun beragama Buddha, namun ia tidak menjadi masalah baginya mengamalkan cara hidup ajaran Islam.
Menurutnya, dia gemar melakukan perkara yang tidak dipelajari dan dilakukan orang lain termasuk cuba memahami agama lain.
“Bermula sejak bayi hingga berusia 16 tahun, saya dibesarkan oleh pengasuh berbangsa Melayu yang sentiasa menyediakan makanan halal.
“Apabila meningkat dewasa, tekak saya sudah terbiasa dengan makanan Melayu. Saya pernah baca mengenai haiwan disembelih yang halal untuk dimakan kerana salur darah putus mengalirkan darah keluar dengan sempurna.
“Darah yang tidak mengalir dan bertakung dalam badan haiwan mempunyai banyak bakteria. Satu perkara yang saya faham Islam mengatakan darah kotor, najis dan tidak baik untuk kesihatan,” katanya.
Zhang berkata, dia tidak pernah makan daging khinzir sejak kecil.
“Setiap kali ayah bawa balik ‘daging’ itu, ia dalam keadaan mentah dan dijadikan sebagai makanan haiwan peliharaan termasuk anjing.
“Saya sedikit geli dengan rupa daging itu yang banyak lemak. Ia sekali gus menyebabkan saya kurang tertarik untuk memakannya.
“Faktor lain mendorong saya tidak makan daging itu kerana saya pernah melihat kandang khinzir yang kotor dan busuk sekali gus menyebabkan saya jadi ‘putus’ selera untuk makan daging berkenaan,” katanya.
Selain tidak memakan daging babi, Zhang juga mengamalkan gaya hidup Islam yang lain seperti berpuasa dan belajar menunaikan solat.
“Setiap kali masuk Ramadan, saya rasa teruja. Saya mula berpuasa penuh sejak 2024 kerana beranggapan ibadah itu dapat membantu menurunkan kolesterol dalam badan.
“Saya juga suka ‘curi-curi’ pergi masjid untuk belajar cara solat Tarawih. Pada pandangan mata kasar saya, suasana malam Ramadan tidak sama seperti bulan lain,” katanya.
Katanya, dia memang berminat untuk belajar dan memahami Islam lebih mendalam.
“Bagi saya, tidak salah untuk belajar walaupun masih dalam proses mencari ilmu. Pintu hati saya sudah terbuka untuk Islam, namun saya ragu-ragu sama ada saya boleh menjadi insan yang baik.
“Tiada mana-mana ahli keluarga saya yang memeluk Islam. Keputusan dan minat saya mendalami Islam adalah lebih kepada diri sendiri untuk belajar,” katanya.
Zhang berkata, dia tertarik dengan ajaran Islam kerana ia mempunyai nilai yang mengajar mengenai disiplin, adab, hormat orang lain dan mencari ketenangan diri.
“Saya mempunyai ramai rakan Muslim dan bermula dari situ, saya banyak belajar dan faham mengenai budaya serta ajaran mereka.
“Mereka tidak pernah paksa saya untuk mempelajari mengenai Islam, namun saya sendiri yang mahu belajar,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan insan terdekatnya, Zhang berkata, dia menerima pelbagai reaksi dalam kalangan mereka.
“Bagaimanapun, saya masih menghormati pandangan semua dan mereka juga hormat terhadap pilihan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




